Tuesday, 2 April 2019
12 tahanan dibebas, tiada saksi lihat Adib dipukul..
POLIS melakukan 12 tangkapan berhubung kes anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.
Pegawai Penyiasat Kanan Polis, Asisten Superintendan Lew Keng Joe berkata, enam tangkapan pertama termasuk saksi prosiding inkues Nasaruddin Abdullah yang berada di sekitar lokasi kejadian.
Saksi inkues ke-28 itu berkata, baki enam lagi adalah individu dipercayai terbabit kes pecah bangunan One City, tetapi ditahan semula bagi membantu siasatan kes Muhammad Adib.
Bagaimanapun, semua suspek yang dibebaskan dengan jaminan polis dan bon jaminan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
“Dalam siasatan, 12 tangkapan ini memang mereka di persekitaran kuil. Hasil rakaman percakapan dan soal siasat... tetapi mereka tidak terbabit dalam kejadian sebab kebanyakannya berada di sebelah kuil.
“Hanya dua suspek berada berdekatan iaitu (yang bernama) Ganesh dan Nasaruddin,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin pada prosiding hari ke-21 inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner di Shah Alam.
Menjawab soalan lain Faten Hadni, saksi sama berkata, setakat ini, seramai 61 saksi termasuk 21 orang awam sudah memberi keterangan dalam kes berkenaan.
Bagaimanapun katanya, tiada satu saksi pun yang melihat mangsa dipukul, ditendang atau disepak.
“Hanya lihat ada pergerakan (seperti memukul), tetapi tidak lihat sesiapa ada (yang menjadi mangsa)," katanya.
Sementara itu, Lew berkata, polis Bukit Aman ada membuat hebahan dengan menyiarkan gambar 66 individu yang tidak diketahui identitinya bagi membantu siasatan kes Muhammad Adib, rusuhan dan pecah bangunan One City.
“Tetapi buat masa ini, tiada seorang pun yang tampil,” katanya.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).
Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung Rabu.
Kredit Harian Metro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment