Wednesday, 20 March 2019

Pengeluar kereta terbang diumumkan pertengahan tahun

Gambar Hiasan Kereta Terbang Dan Menteri

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan pada fasa akhir menyenarai pendek syarikat yang akan bekerjasama membangunkan kereta nasional ketiga.

Menterinya, Datuk Seri Redzuan Md Yusof, berkata keputusan akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan tahun ini.

Ketika ini, katanya, pihaknya melihat potensi dua syarikat, bagaimanapun kemungkinan besar hanya satu syarikat saja yang akan bekerjasama dalam usaha membangunkan projek kereta nasional.

“Kereta nasional adalah rangsangan untuk membangunkan usahawan dalam bidang automotif dan kejuruteraan, khususnya anak muda.

“Ini usaha kerajaan untuk merangsang pembangunan usahawan dalam bidang ini sekali gus menyumbang kepada industri.

“Jika kita lihat kemajuan teknologi hari ini membolehkan pembinaan sebuah kereta tanpa memerlukan kos yang tinggi, sebaliknya kita menerima pakai kepakaran sedia ada,” katanya pada sidang media, selepas merasmikan Majlis Apresasi Kementerian Pembangunan Usahawan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli dan Ketua Setiausaha, Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan sindiran Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman, yang mencadangkan kereta terbang yang bakal diperkenalkan itu diperbuat daripada buluh, Redzuan berkata, pemimpin itu perlu berfikiran lebih rasional.

“Saya tidak boleh ambil komen remeh ini kerana bidang aeroangkasa merangkumi pelbagai cabang termasuk dron dan kereta terbang yang tidak mustahil untuk direalisasikan.

“Di China kereta terbang ini digunakan untuk menghantar barang dengan penggunaan teknologi tinggi.

“Jadi mengapa buluh? Jika ia mahu dilaksanakan biarlah rasional. Kita cerita berkenaan penggunaan bahan berteknologi tinggi. Sekiranya tidak faham, kita di kementerian boleh beri pendidikan dan pengetahuan supaya lebih cerdik,” katanya.

Ditanya mengenai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019, Redzuan berkata, sebanyak 12 syarikat kecil dan sederhana (PKS) akan menyertai pameran antarabangsa itu.

“Syarikat ini mempunyai pengalaman luas dan kepakaran dalam bidang aeroangkasa, termasuk pembuatan serta perkhidmatannya.

“Negara mempunyai ramai pakar dalam industri dan ia juga melambangkan kebolehan anak muda, malah mereka ialah peneraju utama dalam industri seluruh dunia.

“Kementerian Pembangunan Usahawan memainkan peranan untuk promosi PKS ini ke peringkat lebih tinggi menerusi LIMA,” katanya.

Kredit Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment