“Takpalah banyak orang kecewa, saya pun kecewa dengan diorang (mereka),” kata Dr Mahathir yang dipetik portal Utusan Malaysia, hari ini selepas majlis amanat khas perdana menteri kepada penjawat awam Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar.
Nurul Izzah dalam wawancaranya dengan akhbar Singapura, The Straits Times, meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH yang didakwa gagal menunaikan janji dan gagal menggerakkan agenda reformasi seperti sepatutnya.
“Perlu bekerja dengan bekas diktator yang telah menyebabkan pelbagai kerosakan, bukan sahaja dalam hidup (keluarga) kami bahkan kepada sistem (pemerintahan negara), ia bukan mudah.
“Saya betul-betul mahu (usaha) mengangkat agenda reformasi menjadi fokus utama kami,” kata anak sulung Presiden PKR Anwar Ibrahim itu dalam wawancara tersebut.
Malah, Nurul Izzah turut mengumumkan hasratnya untuk tidak lagi bertanding dalam pilihan raya selepas penggalnya sebagai ahli parlimen Permatang Pauh berakhir.
Beliau juga sebelum ini, membuat kejutan apabila meletakkan jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) setelah tidak bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir yang mahu mengekalkan Ronald Kiandee sebagai pengerusi PAC.
Sementara itu, Bernama melaporkan Dr Mahathir menyifatkan tindakan anggota parlimen pembangkang yang meletak jawatan daripada PAC adalah 'hal sendiri'.
"Tak apa, nak letak (jawatan) letaklah, dia punya hal lah," jawabnya ringkas.
Beliau diminta mengulas tindakan semua Anggota Parlimen pembangkang yang menganggotai PAC hari ini meletak jawatan serta-merta sebagai membantah keputusan mengekalkan pengerusinya kepada wakil kerajaan.
Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob dilaporkan sebagai berkata notis peletakan jawatan kesemua anggota parlimen Barisan Nasional (BN) dan PAS yang menganggotai PAC akan dibuat segera.-Malaysiakini
No comments:
Post a Comment