Monday, 14 January 2019

Tampar wanita, lelaki di denda RM1,000 dan penjara 5 bulan

LELAKI yang menampar pekerja wanita sebuah kedai runcit di Bayan Lepas, dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau selepas mengaku salah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa. 

Tertuduh, Lim Chin Ghee, 46, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa, Nor Azirah Aziz, 28, dengan cara menamparnya di Ria Mart Setia Triangle, Bayan Lepas pada jam 9.29 pagi, 8 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 232 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 Lim yang sudah berkahwin dan bekerja sebagai tukang cuci itu kemudian dijatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM1,000.

 Nur Azzuin dalam penghakimannya menyifatkan hukuman itu adalah sebagai pengajaran kepada orang ramai yang tidak dapat mengawal emosi sehingga bertindak mencederakan orang lain.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment