Friday, 25 January 2019
Semakin ramai yang dah tak sanggup tinggal di George Town ?
GEORGE TOWN - Ekoran ramai berpindah keluar, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang berusaha mencari kaedah sesuai untuk menarik penduduk balik ke George Town.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata kadar sewa yang tinggi di sekitar George Town telah menyebabkan ramai penduduk berpindah keluar dari bandar raya ini.
"Susulan Akta Kawalan Sewa 1966 telah dimansuhkan, kadar sewa di George Town melambung tinggi dan tidak terkawal. Ini telah menyebabkan ramai penghuni keluar dari bandar raya ini.
"Sebelum ini, saya dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow telah diminta oleh mantan Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk mengkaji bagi mewujudkan semula Akta Kawalan Sewa, namun secara prinsip kami dapati bahawa akta itu tidak sesuai untuk tangani masalah ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Perbadanan Pembangunan dan Pemuliharaan George Town (GTCDC) untuk menjayakan usaha mengembalikan penduduk ke bandar raya ini.
Jagdeep berkata terdapat banyak kawasan yang tidak digunakan secara optimum di negeri ini dan pihaknya bercadang untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan-kawasan itu bagi merealisasikan hasrat mengembalikan semula penduduk ke George Town.
"Salah satu projek adalah projek 'East Sea Front' yang akan dibina di sepanjang persisiran pantai dari Pelabuhan Swettenham sehingga ke Terminal Feri Raja Uda kerana pembangunan projek itu bukan sahaja bakal menghasilkan peluang perniagaan malah rumah mampu milik juga akan dibina di situ," katanya.
Sementara itu, Jagdeep mengingatkan pengusaha hotel di negeri ini agar segera melengkapkan keperluan dokumen dan mematuhi peraturan yang ditetapkan sebelum tindakan tegas diambil. Beliau berkata berdasarkan program ‘pemutihan’ hotel yang telah dilaksanakan dari 20 Jun 2015 hingga 31 Dis 2017 di sekitar George Town, terdapat banyak hotel yang masih tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk tidak memperoleh lesen tetap.
"Daripada 267 hotel yang diperiksa, sebanyak 23 hotel telah memperoleh lesen tetap, lima hotel di bawah kategori rumah inap desa, lapan hotel masih tidak memperoleh kelulusan pelan bangunan, satu hotel belum mendapatkan keputusan pelan bangunan, 112 hotel tidak mengemukakan permohonan pelan bangunan dan 70 hotel telah ditutup," katanya.- Bernama
Sumber : Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment