Saturday, 26 January 2019

Penyanyi Indonesia,Tegar didenda kerana merokok di Kawasan Larangan

Penyanyi remaja dari Indonesia, Tegar Septian yang popular menerusi lagu Aku Yang Dulu, Bukanlah Yang Sekarang menjadi artis luar negara pertama yang didenda kerana merokok di kawasan tidak dibenarkan.

Pengurusnya di Malaysia, Ayob Abd Majid berkata, Tegar, 17, ditahan oleh anggota penguat kuasa Kementerian Kesihatan ketika sedang merokok berhampiran sebuah kafe di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL), Pulau Pinang pada Rabu lalu.


“Tegar datang ke Pendang, Kedah bagi memenuhi undangan menjayakan persembahan untuk program Pesta Orkid Dan Flora pada malam Selasa lalu.

“Keesokkannya (Rabu) dia mahu bertolak pulang ke Subang, Jakarta Barat dan sementara menunggu masa perlepasan, dia merokok di luar kawasan (LTABL) situ.

“Dahulunya ia zon dibenarkan merokok tapi rupa-rupanya premis (kafe) itu kini adalah zon larangan merokok menyebabkan Tegar didatangi anggota penguat kuasa yang mengeluarkan saman,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ayob, ketika itu dia sedang menguruskan ‘check in’ Tegar dan dia tiba-tiba menerima panggilan telefon daripada artis berkenaan dalam keadaan panik kira-kira jam 12 tengah hari.

“Dia menghubungi saya dan beritahu nak jumpa kerana mahukan pasportnya. Daripada suaranya, saya pasti dia berdepan masalah.

“Tegar kemudian datang berjumpa saya di kaunter bersama penguat kuasa dan saman yang diterimanya,” katanya.

Ayob mengakui kesalahan yang dilakukan artisnya, namun kesal dengan sikap penguat kuasa mengendalikan kes terbabit yang didakwa langsung tidak mempunyai sikap bertolak-ansur.

“Salah memanglah salah, dan saya tak bermaksud nak bela Tegar. Cuma sebagai seorang remaja dan orang luar, anggota penguat kuasa ini sepatutnya berikan dia peluang dan nasihat, bukannya terus saman.

“Saya bercadang nak bawa perkara ini ke peringkat tertinggi iaitu Menteri Kesihatan kerana kecewa langsung tiada budi bicara daripada mereka.

“Tegar juga mengakui kesal dengan apa yang berlaku dan berjanji takkan mengulangi lagi perkara ini. Dia memang tak tahu itu zon larangan merokok,” katanya.

Ayob berkata, denda berjumlah RM300 yang perlu dibayar oleh Tegar agak tinggi baginya dalam keadaan tawaran persembahan yang berkurangan.

“Saya keliru dengan kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mengatakan tiada tindakan undang-undang dikenakan selama enam bulan bagi tujuan mendidik masyarakat.

“Tapi bagaimana pula Tegar dikenakan denda tanpa sebarang nasihat atau amaran,” katanya

sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment