Friday, 18 January 2019
Pekerja lelaki luka jari bukan pekerja Nasi Kandar Pelita
PENGURUSAN rangkaian restoran Nasi Kandar Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Pelita) menafikan pekerja yang luka di jari kanan adalah pekerja mereka, seperti tular di media sosial hari ini.
Pengarah Eksekutif Pelita, Datuk KK Sihabutheen berkata, tindakan pihak tertentu menyebarkan gambar pemeriksaan agensi penguat kuasaan di restoran Nasi Kandar Pelita bersama gambar pekerja terbabit itu adalah fitnah terhadap mereka.
“Sekali lagi ditularkan satu fitnah jahat ke atas Nasi Kandar Pelita pada hari ini.
“Kebelakangan ini, restoran mamak dilawati beberapa jabatan kerajaan ekoran daripada isu yang ditimbulkan.
“Semalam, Nasi Kandar Pelita cawangan Bangsar dilawati untuk tujuan pemantauan oleh beberapa jabatan kerajaan dan Alhamdulillah, premis kami yang sememangnya diberi Kategori A didapati dalam keadaan baik dan mematuhi semua piawaian ditetapkan.
“Tapi malangnya ada pihak dengan niat jahat menularkan gambar semasa operasi itu dengan menyelitkan dua gambar restoran lain menunjukkan seorang pekerja kedai yang luka di jari kanan sedang menyediakan makanan.
“Untuk makluman, 28 outlet Nasi Kandar Pelita tidak ada menjual tom yam sedangkan gambar itu dengan jelas menunjukkan papan tanda tom yam terpampang di belakang,” katanya.
Beliau berkata, tiada ada seorang pun pekerja Nasi Kandar Pelita yang bertugas tanpa memakai uniform sedangkan dalam gambar diviralkan itu jelas menunjukkan pekerja yang luka di jari itu hanya memakai t-shirt biasa dan tidak beruniform Pelita.
Berikutan itu, katanya, pihaknya akan membuat laporan polis mengenai penyebaran gambar berkenaan, esok.
“Kepada sahabat yang membuat dan menyebarkan fitnah, berhentilah daripada melakukan kerja tidak baik itu.
“Ingatlah, kita akan diminta bertanggungjawab di depan Allah atas fitnah disebarkan,” katanya.
Harian Metro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment