Wednesday, 25 April 2018

Cheng Guan ‘sailang’ Guan Eng?


LANGKAH yang tepat andai kata terfikir oleh Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan untuk mempertaruhkan dirinya sebagai calon bebas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dengan keberanian beliau mendedahkan isu-isu salah laku dan salah guna kuasa di Pulau Pinang sehinggakan menerima ugutan bunuh awal tahun ini, sudah sewajar­nya Cheng Guan meneruskan hasratnya itu.

Nama Cheng Guan bukanlah asing dalam laporan media arus perdana, stesen televisyen dan portal propembangkang. Kelibatnya sering muncul di balai-balai polis mendedahkan penyelewengan.

Sebelum ini beliau membangkitkan skandal pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang sehingga beberapa tangkapan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau jugalah orangnya yang menimbulkan isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditubuhkan di Pulau Pinang sehingga pasukan itu diharamkan di negeri ini. Tidak dilupakan, beliau juga lantang membangkitkan isu pembelian banglo Ketua Menteri, Lim Guan Eng sehingga kes berkenaan didakwa di mahkamah.

Kalau sudah ke tahap itu yang ahli politik lain pun tidak capai piawaian berkenaan, apa nak dikatakan lagi - KPI atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Cheng Guan menjadi bukti dirinya layak bertanding.

Tetapi kali ini, akhbar ini dimaklumkan, Cheng Guan tidak mahu ‘biasa-biasa’ bertanding.

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai.

Lawan yang dipilih pun bukan sembarangan. Akhbar ini difahamkan, Guan Eng menjadi pilihan Cheng Guan untuk disekat di kerusi Parlimen Bagan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih dalam persaingan PRU-14 ini. Cuma tunggu pengesahan rasmi daripada Cheng Guan sahaja, dijangka sidang akhbarnya hari ini.

Bagi Cheng Guan, keadaan di Pulau Pinang sekarang ini teruk. Contohnya dalam isu banjir dan perumahan. Ada banyak kondominium yang dibina tetapi hanya mampu dilihat sahaja dan bukannya mampu milik.

“Harganya sampai RM700,000 hingga RM1 juta. Orang biasa memang tidak mampu beli. Banyak kilang yang besar sudah pindah ke luar Pulau Pinang. Anak-anak negeri itu berhijrah ke Kuala Lumpur sebab di Pulau Pinang kurang kerja. Pendapatan purata bulanan bagi isi rumah penduduk Pulau Pinang juga di bawah kadar purata kebangsaan.

“Guan Eng pula ada kes rasuah dan asyik menyalahkan orang lain sahaja. Sepatutnya dia kena letak jawatan. Kalau orang lain yang terbabit dalam kes rasuah dia pandai pula suruh orang itu letak jawatan,” kata beliau.

Cheng Guan menarik perhatian di era Tun Dr. Lim Chong Eu (bekas Ketua Menteri Pulau Pinang) yang menggerakkan pembinaan rumah kos rendah hanya berharga RM25,000 seunit sahaja.

“Masa itu saya dalam tentera dan gaji saya lebih kurang RM400 sahaja sebulan. Saya mampu beli rumah kos rendah kerana bayaran bulanannya hanya RM138 sebulan. Saya rasa zaman itu adalah yang paling baik kerana dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Chong Eu,” kata beliau.

Cheng Guan sudah merasai ‘sepak terajang’ politik tanah air.

Bekas Naib Presiden Gerakan ini pernah memenangi kerusi Parlimen Batu Kawan dengan meraih 17,097 undi jauh meninggalkan calon DAP yang hanya memperoleh 6,552 undi. Nasib bagaimanapun tidak menyebelahinya apabila kecundang pada PRU-12, PRU-13 dan pilihan raya kecil di Bukit Gelugor - ketiga-tiganya pada calon DAP.Tidak ada salahnya untuk Cheng Guan mencuba kali ini.

Lihatlah bagaimana cubaan veteran DAP, Lim Kit Siang untuk menewaskan Tan Sri Koh Tsu Koon pada 1995 gagal setelah kalah kepada Ketua Menteri ketiga itu di DUN Tanjong Bungah, walaupun dia menang di Parlimen Tanjong.

Tahun 1999, Kit Siang berpindah ke kawasan lain. Perpindahan itu membawa padah apabila beliau kecundang kepada Setiausaha Agung Gerakan, Chia Kwang Chye di Parlimen Bukit Bendera dan di DUN Kebun Bunga kepada Dr. Teng Hock Nan. Berikutan kekalahan pada November 1999 itu, Kit Siang meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung tetapi dilantik sebagai pengerusi. Selepas kecewa di Pulau Pinang, Kit Siang membawa diri ke luar Pulau Pinang, destinasinya ke Perak pada 2004 dan memilih Ipoh Timur sebagai pangkalan baharu sehinggalah pada PRU-2008.

Kit Siang melilau sana sini, sampailah dia di Gelang Patah, Johor. Cuma Cheng Guan, tolonglah anda kekal (bertanding) di Pulau Pinang.

SUMBER 

No comments:

Post a Comment