GEORGE TOWN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow mengajak rakyat negeri itu bersama-sama menolak pembangunan di lereng bukit dan kawasan berisiko yang dilihatnya gagal disentuh pembangkang dalam manifesto mereka.
Teng yang juga calon BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bunga berkata pembangunan di lereng bukit yang tidak terkawal bukan sahaja mengancam alam sekitar tetapi juga nyawa manusia.
“Kita mesti hentikan pembangunan di lereng bukit, kawasan cerun dan berisiko. Kita mesti lindungi alam sekitar kita dan memastikan keselamatan orang ramai,” katanya kepada pemberita hari ini.
Pada satu forum semalam, penduduk Tanjong Bunga mendakwa kerajaan negeri pimpinan DAP meluluskan pembangunan bercampur bertingkat di kawasan seluas 12.26 ekar di atas bukit kelas 4 di Tanjong Bunga iaitu melebihi paras 250 kaki dari aras laut dan kecerunan 35 darjah.
Mengulas isu itu, Teng berkata projek tersebut bukan sahaja terletak di persekitaran yang sensitif tetapi juga bercanggah Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2007 yang melarang sebarang pembangunan di atas kawasan dengan cerun 25 darjah dan ketinggian 250 kaki di atas paras laut.
Sehubungan itu beliau menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang mengambil langkah sewajar selain meminta ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) campur tangan memandangkan Penilaian Kesan Alam Sekitar diluluskan oleh JAS negeri.
Pada pilihan raya umum ke-14 ini, DUN Tanjong Bunga akan menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Zairil Khir Johari yang mempertahankan kerusi itu bagi DAP, Teng dan calon Parti Rakyat Malaysia Chua Cheong Wee serta Lee Zheng Yong daripada Parti Bersama Malaysia- FMT
No comments:
Post a Comment