Wednesday, 21 March 2018

Wajib baca: Siapa, apa kerja Cambridge Analytica?

SAN FRANCISCO, 20 Mac ― Firma analisis data Cambridge Analytica mencetuskan kontroversi atas banyak isu, antaranya campur tangan pilihan raya di Malaysia.

Namun, setakat ini, tiada butiran lengkap bagaimana firma perunding politik itu mempengaruhi pengundi di Kedah pada 2013 walau dakwaan dibuat.

Selain di Malaysia, ia juga dilaporkan terlibat dalam beberapa pilihan raya lagi, di Brazil, Mexico, Kenya dan Amerika Syarikat.

Cambridge Analytica berdepan siasatan kerajaan di London, pihak berkuasa  beberapa negeri di Amerika Syarikat dan juga Facebook sejak 2014 lagi.

Apa lagi yang anda harus tahu tentang firma kontroversi ini? Berikut maklumat yang dikumpul oleh Reuters berdasarkan beberapa laporan media.

Bagaimana ia bermula?

 ― Cambridge Analytica anak syarikat SCL Group, kontraktor kerajaan dan tentera yang menyediakan pelbagai khidmat penyelidikan, termasuk keselamatan makanan, memerangi dadah dan kempen politik. SCL pula diasaskan lebih 25 tahun lalu.

 ― Ditubuhkan pada 2013, Cambridge Analytica asalnya untuk pilihan raya Amerika Syarikat. Ia mendapat US$15 juta (RM59 juta) daripada penderma Repulikan dan jutawan Robert Mercer.

 ― Kebanyakan kakitangannya warga Britain, ia membantu kempen Senator Republikan Ted Cruz sebelum terlibat membantu Donald Trump.

Apa yang mereka lakukan?

 ― Cambridge Analytica menyediakan penyelidikan pengguna, iklan bersasaran dan khidmat lain berkaitan data kepada pelanggan politik dan korporat.

 ― Channel 4 melaporkan Cambridge Analytica menguruskan kempen Presiden Kenya Uhuru Kenyatta pada pilihan raya 2013 dan 2017 tetapi ia menafikannya.

Sejak bila ia mendapat perhatian?

 ― Selepas Trump berjaya ke Rumah Putih pada 2016, ketua pegawai eksekutif Cambridge Analytica Alexander Nix menawarkan khidmatnya kepada lebih ramai pelanggan.

 ― Firma itu berbangga mereka boleh membangunkan profil psikologi pengguna dan pengundi yang menjadi "sos rahsia" untuk mempengaruhi mereka berbanding iklan tradisi.

 ― Firma perunding pesaingnya dan juga pembantu kempen bagaimanapun meragui dakwaan syarikat tersebut.

Apa tuduhan-tuduhan terhadapnya?

 ― Mulai 2014, Cambridge Analytica mendapat data 50 juta pengguna Facebook melalui cara menipu penggunanya dan syarikat gergasi media sosial tersebut.

 ― Data dituai menggunakan aplikasi yang dibangunkan oleh ahli akademik Britain, Aleksandr Kogan, yang kemudian dihantar ke Cambridge Analytica selepas ia diproses.

Apa berlaku seterusnya?

 ― Facebook mendesak Cambridge Analytica memberikan penjelasan, selepas mendapat jaminan daripada firma tersebut pada 2015 bahawa ia telah memadamkan semua data.

 ― Facebook mengupah firma juruaudit forensik Stroz Friedberg untuk membantu.

 ― Facebook menggantung Cambridge Analytica, syarikat induknya SCL, Kogan dan juga Christopher Wylie, yang pernah bertugas di Cambridge Analytica, daripada menggunakan media sosialnya.

 ― Pejabat Pesuruhjaya Maklumat United Kingdom cuba mendapatkan waran untuk menggeledah pejabat Cambridge Analytica.

 ― Badan pendakwaan di negeri Massachusetts dan Connecticut, di Amerika Syarikat, melancarkan siasatan bagaimana data Facebook dikendalikan.

SUMBER

No comments:

Post a Comment