Thursday, 22 March 2018

PPBM ulangi sejarah Semangat 46

KEMUNCULAN Parti Pri­bumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam arena politik tanah air semacam mengulangi ketrampilan Semangat 46 sebagai parti pembangkang menentang UMNO dan kerajaan. Hari ini Semangat 46 hanya tinggal sejarah.

UMNO semakin kuat dan kerajaan masih tegak berdiri. Apakah PPBM akan menempuh nasib sama kerana sasaran tentangannya adalah serupa?


Kalau isunya ideologi, apa beza UMNO dengan perjuangan PPBM yang memberi fokus mendapatkan dukungan orang Melayu tetapi bersubahat dengan DAP yang menjadi musuh utama Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bertahun-tahun.

Kecaman Dr. Mahathir-Muh­yiddin dahulu terhadap DAP amat berat sekali. DAP dihubungkan sebagai parti rasis dan anti-Islam. Kini DAP menjadi rakan kongsi untuk menjatuhkan UMNO dan kerajaan. Dr. Mahathir-Muhyi­ddin menuduh kerajaan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Lalu Datuk Seri Najib Tun Razak dijadikan sasaran. Sewaktu Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor, tadbir urusnya dipertikaikan. Hal sama berlaku kepada Dr. Mahathir yang menjadi Pe­r­dana Menteri selama 22 tahun. Terlalu banyak isu tadbir urus beliau dibangkitkan.

Kalau zaman Dr. Mahathir-Muhyiddin mentadbir negeri dan negara terdapat tuduhan mengatakan salah urus berlaku, apakah kuman di seberang laut nampak, gajah di bibir mata tidak nampak. Sudah tentu ada sebab-sebab peribadi yang menyebabkan Dr. Mahathir-Muhyiddin mengambil pendekatan menjatuhkan Najib, UMNO dan kerajaan.

Untuk menjatuhkan UMNO, Najib dan kerajaan di waktu usia Mahathir-Muhyiddin sudah mencapai batas senja, cita-cita politik mereka tidak akan kesampaian. Jalan mudah dan pragmatik ialah bersekongkol dengan DAP yang mereka benci dulu.

Pemimpin yang berdolak-dalik kerana dendam peribadi tidak akan sampai ke mana. PPBM bercadang mengambil alih kuasa UMNO dan DAP menggunakan PPBM untuk memecahbelahkan undi Melayu. Orang Melayu tidak boleh memaafkan ketelanjuran ini. Ia menjadikan UMNO semakin kuat dan orang Melayu semakin marah terhadap gelagat Dr. Mahathir.

Ternyata, DAP sama-sama mendukung Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri. Kalau dulu DAP bertegas mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, kini berubah ke arah Dr. Mahathir dan Anwar akan berdepan dengan masalah undang-undang untuk aktif dalam politik apabila keluar dari penjara Sungai Buloh pada 8 Jun nanti.

Lim Kit Siang tentu ingat kata-kata mendiang Karpal Singh di Parlimen mengenai Anwar. Tetapi Karpal sudah tidak ada. Kit Siang semakin berani mencadangkan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri kerana percaturan politik jangka pendek dan jangka panjang untuk memerintah Malaysia.

Orang Melayu masih ingat sejarah perpisahan Singapura dari Malaysia dan sejarah hubungan DAP dan PAP Singapura. Minoriti Melayu Singapura nasibnya tidak sama seperti minoriti Cina di Malaysia. Melayu Singapura terpinggir dengan dasar yang ada tetapi Cina Malaysia mempunyai ekuiti ekonomi yang tinggi berbanding orang Melayu.

Walaupun sebahagian orang Melayu lupa sejarah, asyik de­ngan sedikit kemewahan yang diterima dan tidak bersyukur dengannya, sebahagian generasi muda lupa diri dan hilang jati diri, sebahagian orang Melayu yang tidak menginsafi pentingnya kuasa di Malaysia dipertahankan tetapi masih terdapat ramai orang Melayu yang insaf akan sejarah silam kerana sifat sejarah mengulangi jejak.

DAP jangan ingat menggunakan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim suatu ketika dulu, Aziz Bari, A. Samad Said, Zaid Ibrahim, Dyana Sofya dan ramai lagi menyebabkan orang Melayu terpesona dan mudah terpengaruh.

Majoriti orang Melayu di Malaysia masih sayangkan kesatuan bangsanya bukan untuk menindas bangsa lain tapi mahukan orang yang mempunyai kuasa ekonomi dan kuasa beli yang tinggi bertimbang rasa terhadap orang Melayu yang sedang ber­usaha untuk maju dan berubah.

Orang Melayu sangat sedar dan insaf betapa dengan kekuatan ekonomi orang Cina mampu mengisi pembangunan perumahan harga mahal, membangun bandar-bandar baru dan pusat-pusat perniagaan terutama di Selangor dan tidak mustahil Selangor negeri terkaya di Malaysia menjadi seperti Pulau Pinang kerana taburan demografi (kependudukan) memihak kepada yang mempunyai kuasa beli dan mempunyai talian dengan pembangkang.

PPBM, Dr. Mahathir-Muhyiddin tahu akan kemungkinan ini. Tetapi kerana politik kebencian yang terlalu peribadi, sanggup mereka mengulangi sejarah Semangat 46 untuk memecahkan kesatuan umat Melayu supaya DAP dapat melakukan dominasi akhirnya.

Dan sejarawan bakal memberikan analisis berasaskan fakta dan muslihat perjuangan politik tokoh-tokoh tertentu di Malaysia dan pendirian Dr. Mahathir-Muhyiddin bersekongkol dengan DAP bakal menjadi faktor yang menarik untuk dianalisis. Dan tidak mustahil hilangnya Sema­ngat 46 dalam arena politik negara boleh terjadi kepada PPBM.

Asas kukuh menyokong andaian ini ialah bersama-sama de­ngan DAP dilihat oleh orang Me­layu sebagai suatu kesilapan besar. Ke­dua, mencadangkan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri (jika terjadi) bakal mendalamkan lagi krisis dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan.

Ketiga, Dr. Mahathir belum tentu boleh menang sekiranya bertanding di Kubang Pasu, Langkawi atau Putrajaya. Keempat, PPBM ialah parti baharu yang belum mempunyai dukungan yang besar dan akar umbi yang mampu menggerakkan jentera parti menghadapi pilihan raya. Kelima, Anwar tahu usaha memohon pengampunan belum tentu terjadi dan Dr. Mahathir tidak akan lupa nasib anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai calon pemimpin untuk meneruskan legasi Mahathir kerana sikap dolak-dalik Dr. Mahathir dalam politik sangat nyata.

Kehadiran PPBM mencalarkan perpaduan orang Melayu. Untuk PPBM menggantikan UMNO jalannya tidak mudah. Orang Melayu amat memahami memilih jalan berpecah bakal meletakkan orang Melayu kehilangan kuasa.

Lebih-lebih lagi PPBM ber­kawan dengan DAP yang anti Melayu dan Islam, PKR yang sedang berdepan dengan krisis kepe­mimpinan dan PAN yang ingin menggantikan Pas selepas gagal menguasai kepemimpinan Pas. Harapan untuk melihat orang Melayu terus menguasai kerajaan semakin tipis.

SUMBER

No comments:

Post a Comment