Menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), rakyat diminta tidak lagi mengamalkan politik adu domba dan fitnah sebaliknya beralih kepada politik matang.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memberi ruang kepada rakyatnya untuk menyertai politik.
“Mencapai tahap politik matang adalah tanggungjawab bersama. Hargailah kestabilan politik yang kita nikmati selama ini kerana kestabilan dan keamanan ini terlalu mahal harganya,” katanya menerusi catatan dalam laman blognya hari ini.
Menurut Salleh, masyarakat tidak lagi memerlukan politik adu domba, fitnah, pembunuhan karakter, dan juga penyebaran berita palsu kerana amalan buruk ini boleh merosakkan akal budi sebagai rakyat Malaysia yang berakhlak dan beradab.
“Kita boleh berbeza pendapat politik dan berada dalam parti berlainan, tetapi janganlah sampai ke tahap kita menyebar berita palsu tentang negara.
“Misalnya, menyebarkan berita tidak tepat tentang ekonomi negara, rasuah dan juga kadar jenayah tanpa menggunakan data betul,” katanya.
Salleh berkata kerajaan sudah mengeluarkan data rasmi, maka jangan mengambil contoh terpencil untuk menafikan kejayaan negara hanya kerana perbezaan pandangan politik.
“Inilah yang dimaksudkan kita meraikan perbezaan politik dan pendapat, tetapi janganlah sampai ke tahap mengabaikan kepentingan negara,” katanya.
Beliau berkata kerajaan komited menyekat amalan politik kotor dan fitnah yang boleh memudaratkan negara.
No comments:
Post a Comment