PULAU PINANG – Parti Gerakan negeri mendakwa sekurang-kurangnya 16 lot tanah milik rakyat di negeri ini dijual Kerajaan DAP Pulau Pinang sepanjang 10 tahun mentadbir negeri ini.
Pemangku Ketua Pemudanya, Jason Loo berkata, ia membabitkan keluasan kira-kira 2,178 hektar tanah yang dijual kepada pemaju swasta untuk dibangunkan dengan projek komersial elit dan mewah.
Lebih membimbangkan, dakwa beliau, Kerajaan DAP Pulau Pinang menubuhkan Perbadanan Ketua Menteri (CMI) pada 2009 sekali gus memudahkan aktiviti penjualan tanah tersebut kepada pemaju.
“Sekiranya setiap inci tanah milik rakyat ini dijual secara senyap oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang, maka lama-kelamaan, tidak ada apa-apa lagi yang tinggal untuk penduduk negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Jason, antara tanah yang dijual itu termasuk di bahagian Perai iaitu di Batu Kawan seluas 242 hektar; Juru (2.64 hektar) dan Bukit Minyak (1.76 hektar).
Di bahagian pulau pula, tambahnya, kawasan tanah yang dijual adalah di Taman Manggis (0.44 hektar); Bayan Mutiara (40.8 hektar); Gurney Drive (44 hektar); Permatang Damar Laut (1,800 hektar); Bayan Bay (9.88 hektar); Bayan Lepas (2.64 hektar); Pulau Jerejak (32 hektar) and Peel Avenue (2.56 hektar).
Menurut Jason, penjualan tanah milik rakyat secara mega oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang itu menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Malah, tegasnya, perkara itu juga menjadi punca utama mengapa beliau tidak pernah serik daripada mempersoal dasar kerajaan negeri yang tidak menguntungkan rakyat tersebut meskipun sudah menerima tiga notis saman daripada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
“Saman ke atas saya ini tidak akan menutup saya daripada terus membangkitkan mengenai isu ini apatah lagi sehingga kini tidak ada jawapan jelas diberikan Kerajaan DAP Pulau Pinang berkenaan penjualan besar-besaran tanah milik rakyat ini,” katanya.
Sebelum ini, Jason menerima notis saman daripada Guan Eng pada 21 dan 28 Februari lalu berhubung isu penjualan tanah Peel Avenue selepas kali pertama pada 29 Mei tahun lalu. – theRakyat
No comments:
Post a Comment