Sunday, 25 March 2018
Dr. Mahathir, usia, nafsu dan realiti
Menonton rakaman video komen hartawan British berasal dari Sudan, Mo Ibrahim yang sinikal terhadap pemimpin berusia 90-an menjadi Presiden, membuatkan Awang tersenyum.
“Apakah anda gila atau apa?” tanya beliau dalam satu forum sebagai merujuk kepada pemimpin tertentu di benua Afrika.
Kata-katanya itu disambut gelak ketawa para hadirin. Mo menyifatkannya sebagai jenaka lalu berkata lagi. “Anda berhak untuk ketawa kerana seluruh dunia mentertawakan kita.” Ini kerana rakyat mana-mana negara mengharapkan pemimpin yang dipilih cergas, bertenaga dan sihat.
Nasihat Mo begitu relevan dalam konteks politik Malaysia. Pada Januari lepas, Dr. Mahathir Mohamad, 93, dipilih sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang PRU-14.
Bukan sahaja di benua Afrika, di Malaysia juga menyaksikan sentimen menolak langkah Dr. Mahathir (yang telah bersara selepas 22 tahun menjadi Perdana Menteri ) mahu kembali berkuasa. Dengan kata lain beliau akan menjadi calon kitar semula jawatan Perdana Menteri yang tertua dalam sejarah dunia.
Awang lihat Pakatan Harapan telah memberi isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia seolah-olah berundur ke belakang dan ketandusan pemimpin. Dr. Mahathir sendiri terlupa penghinaan yang ditujukan kepada Menteri Besar dan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat pada 2013.
“Ini umur 82 tahun, nak berdiri pun tak boleh, masih nak bertanding lagi, sampai bila-bila. Apa jenis manusia. Suruh kita tukar (kerajaan), tukarlah diri engkau terlebih dahulu.” Rakaman video ucapannya itu kini tular kembali.
Ketika itu Dr. Mahathir telah bersara dan berusia 78 tahun. Kini pada usia lebih lanjut dan beberapa kali telah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), beliau akan bertanding pada PRU-14.
Usia tidak menipu walau apa pun tafsiran.
Cuba bayangkan sekiranya Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri pada usia 93 tahun, bagaimana tahap kecergasan dan kesihatannya?
Hal tersebut menjadi bahan perbualan orang ramai termasuk melalui media sosial. Antara yang disentuh, Dr. Mahathir hanya mampu bekerja selama empat jam sehari kerana mudah penat, selebihnya perlu berehat.
Selain itu, tidak mampu berdiri lama termasuk untuk berucap dan berjalan. Pertuturan pula tidak berapa jelas dan pendengaran makin merosot.
Risiko terkena serangan jantung dan angin ahmar amat tinggi. Masalah kesihatan Dr. Mahathir adalah kebimbangan utama keluarganya. Dalam kes sedemikian, beliau memerlukan pasukan perubatan lebih besar sepanjang masa seumpama klinik di kediamannya.
Lebih dikhuatiri, pada usia sebegitu, beliau berisiko alami nyanyuk sedangkan pemimpin negara tidak boleh mudah lupa. Maka Dr. Mahathir perlu berlaku adil kepada rakyat dan negaranya.
Demi rakyat dan negara, Malaysia berhak mendapat pemimpin yang cergas. Bebanan dan tekanan tugas sebagai Perdana Menteri begitu tinggi termasuk dalam urusan diplomatik dan melawat ke luar negara. Faktor usia dan kesihatan ternyata tidak memihak kepada Dr. Mahathir.
Mesejnya, nafsu dan realiti adalah dua perkara berbeza. Jika beliau mahu mengangkat dirinya sebagai pemimpin harapan maka seperti kata Mo, harapan itu sudah tiada. Kelam yang menanti.
SUMBER
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment