Monday, 19 March 2018

Asyraf selar LGE ajar kanak-kanak budaya politik hasutan


19 MAC: Martabat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng disifatkan berada pada kedudukan rendah apabila mengheret murid pra sekolah dalam kempen kebencian terhadap polisi kerajaan BN.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata sebagai seorang Ketua Menteri, Guan Eng tidak sepatutnya mempelopori budaya politik hasutan dan persengketaan.

“Masa depan pendidikan kanak-kanak tidak wajar dijadikan medan politikan murahan apatah lagi dicanai dengan sentimen kebencian sedari kecil.

“Kalau inilah pendekatan yang dibanggakan sebagai budaya politik matang oleh DAP dan pakatan politiknya, alamat Malaysia berhadapan dengan masa depan kelam,” katanya dalam satu kenyatan dalam akaun Facebookn hari ini.

Asyraf mengulas video yang tular dan memaparkan Guan Eng menari dan menyanyikan lagu ‘ABC’, yang ditukar lirik kepada anti-GST bersama sekumpulan kanak-kanak.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilaporkan bertindak sedemikian ketika merasmikan pusat tuisyen rakyat pada Sabtu lalu di Georgetown.

Berdasarkan video itu,  kandungan lagu itu memaparkan lirik ‘A B C D G S T, harga semakin tinggi, tak naik lagi gaji, mesti makan maggi mee, semua kena GST, bayar untuk 1MDB’.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan bahawa Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam dilaporkan kecewa dengan tindakan Guan Eng menggunakan kanak-kanak untuk mempersendakan GST.

No comments:

Post a Comment