Wednesday, 29 November 2017

UMNO, BN berjaya realisasikan kebangkitan pendidikan bangsa Melayu - Tengku Adnan

UMNO, BN berjaya realisasikan kebangkitan pendidikan bangsa Melayu - Tengku Adnan
Tengku Adnan berucap pada Majlis Pelancaran Logo Pertubuhan Alumni pada Anugerah Nadi Negara 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 25 Nov. --fotoBERNAMA / Fail
PUTRAJAYA: UMNO dan Barisan Nasional telah berjaya merealisasikan kebangkitan bangsa Melayu yang dahulunya mundur dalam pendidikan akibat kemiskinan tegar, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata perkara itulah yang ingin disampaikannya ketika berucap pada majlis Anugerah Nadi Negara 2017 di Kuala Lumpur Sabtu lalu yang disampaikan tanpa teks yang mungkin tidak kemas penyampaiannya.

"Jika ada kesilapan teknikal dari segi ucapan yang tidak disengajakan (oleh saya), itu adalah kelemahan yang ada pada semua manusia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia mengecam kenyataan Tengku Adnan yang menyifatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai tempat mereka yang kurang cemerlang dalam pelajaran.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, menjelaskan sebelum peristiwa 13 Mei 1969, keadaan orang Melayu pada masa itu sememangnya amat mundur dan akibatnya pelajar Melayu luar bandar khususnya terkebelakang dalam pelajaran.

"Ini kerana sekolah luar bandar banyak kekurangan dan ramai di antara mereka tidak dapat masuk universiti.

"Oleh itu, pada awal tahun 70-an syarat masuk universiti diturunkan kepada sekadar dua prinsipal dan satu sub untuk layak memasuki universiti menggunakan kuota Hak Keistimewaan Melayu di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB)," katanya.

Mengenai peranan UiTM atau dahulunya dikenali Institut Teknologi Mara (ITM) yang ditubuhkan UMNO, katanya institut itu telah memberi peluang kedua kepada ramai pelajar Melayu untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Ramai pelajar Melayu yang tercicir di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dan melalui peluang yang diberikan kerajaan, pelajar yang mendapat Gred 3 pun tetap diterima masuk ke ITM.

"Apabila mereka ini diberi peluang dengan kemudahan pembelajaran yang serba cukup, cuba lihat sekarang berapa ramai pelajar yang berjaya hingga mendapat ijazah doktor falsafah dan juga peringkat profesional lain.

"Tiada niat memperkecilkan sesiapa... dan saya minta supaya kita sedar apa kerajaan telah lakukan untuk kita dan ini semua akan hilang jika kita tak bersama menyokong kerajaan," katanya.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment