Penang Citizens
Awareness (Chant Group) mempersoalkan tindakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang
(MBPP) yang terlalu cepat mengisytiharkan dua buah kondominium di Tanjung
Bungah sebagai selamat untuk diduduki selepas berlaku kejadian tanah runtuh di
kawasan itu.
Penasihatnya, Yan Lee
berkata, MBPP mengesahkan kondominium berkenaan iaitu Straits Regency dan
Surin selamat untuk dihuni selepas pemeriksaan dijalankan oleh jurutera yang
dilantik.
Menurutnya, kejadian
tanah runtuh di kawasan itu berlaku pada 5 November dan kenyataan rasmi kawasan
berkenaan selamat dikeluarkan pada 8 November iaitu tiga hari selepas tragedi
berkenaan sekali gus menimbulkan persoalan.
“Keputusan ini
menunjukkan seolah-olah kerja pemeriksaan dijalankan secara tidak menyeluruh
dan mengarut.
“Sekurang -kurangnya
tempoh masa yang diperlukan untuk membuat pemeriksaan adalah seminggu
berdasarkan pengalaman jurutera profesional selain kawasan yang terjejas agak
besar,’’ katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam kejadian
bencana banjir besar 5 November lalu, beberapa unit rumah mewah di lereng bukit
Tanjung Bungah mengalami kerosakan apabila tanah runtuh menyebabkan sebahagian
jalan mendap sekali gus membimbangkan penduduk yang tinggal di kondominium
berdekatan.
MBPP sebelum ini
mengesahkan pihaknya telah memagar keseluruhan kawasan terlibat selain menutup
bahagian runtuhan yang terdedah bagi mengelakkan hakisan tanah.
Pada masa sama, MBPP
juga mendakwa telah menjalankan pemeriksaan terhadap keselamatan bangunan
berhampiran.
Mengulas lanjut, Yan
Lee berkata, pihaknya tidak dapat menerima ‘pengesahan’ berkenaan memandangkan
isu itu melibatkan aspek alam sekitar dan keselamatan awam.
Malah, rata-rata
penduduk berdekatan kawasan tragedi tanah runtuh juga terkejut dengan status
selamat yang dikeluarkan MBPP sedangkan kesan kemusnahan yang mereka lihat di
lokasi berkenaan sangat teruk -UTUSAN
No comments:
Post a Comment