BUTTERWORTH: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang memberi jaminan
semua mangsa banjir di seluruh negeri itu akan mendapat bantuan tanpa mengira
pandangan politik mereka.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang,
Datuk Jahara Hamid, berkata mereka bagaimanapun perlu bersabar menunggu
peruntukan diluluskan kerana proses itu dilaksanakan secara berperingkat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Air
Tawar, berkata kerajaan Pusat masih menilai peruntukan sewajarnya untuk mangsa.
"Buat masa ini, kita fokus dengan pemberian bantuan seperti
makanan, kelengkapan asas seperti tilam, bantal, selimut dan khidmat
membersihkan rumah bagi meringankan beban mangsa banjir.
"Untuk bantuan selanjutnya, mangsa diminta bersabar kerana
banyak proses perlu dilalui sebelum pengumuman berkaitan peruntukan diumumkan
dalam tempoh terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian pada program penyerahan bantuan Pihak
Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kepada mangsa banjir di Telok Ayer
Tawar di sini, hari ini.
Beliau mengulas tuduhan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang
mendakwa kerajaan Pusat tidak menghulurkan sebarang bantuan kepada mangsa
banjir selepas lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke kawasan
bencana itu di negeri ini, minggu lalu.
Pada program berkenaan, Jahara bersama wakil Pihak Berkuasa
Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyampaikan sumbangan tilam dan bantal kepada
50 mangsa banjir membabitkan peruntukan RM12,500.
Katanya, mangsa banjir sebenarnya menerima bantuan tidak
putus-putus, kebanyakannya dihantar agensi atau pertubuhan bukan kerajaan
(NGO).
"Seperti mana kerajaan membantu rakyat Kelantan ketika
negeri itu dilanda banjir besar pada 2014, Pulau Pinang juga juga tidak
dipinggirkan kerana bantuan sentiasa sahaja ada sehingga hari ini,"
katanya.
No comments:
Post a Comment