KUALA LUMPUR: Kemerosotan pasukan bola sepak Pulau Pinang hingga tersungkur ke Liga Perdana selepas hanya dua musim beraksi dalam Liga Super berpunca daripada pengurusan yang 'terlebih pandai'.
Bekas pemain dan jurulatih pasukan itu, Datuk Shukor Salleh berkata, senario itu berlaku kerana ia ditadbir urus oleh mereka yang tidak tahu apa-apa mengenai bola sepak tetapi berlagak lebih tahu berbanding pakar.
"Saya sebenarnya sudah malas nak ulas mengenai bola sepak Pulau Pinang kerana terlalu kecewa. Sebagai anak jati negeri ini malah pernah bermain dan melatih pasukan itu, saya turut berasa malu.
"Pasukan ini tidak sepatutnya jatuh ke Liga Perdana kerana dari segi kewangan mereka mendapat sokongan penuh kerajaan negeri. Saya difahamkan mereka diberi dana sebanyak RM34.5 juta.
"Dengan dana sebanyak itu, mereka mampu mendapatkan pemain yang bagus untuk memperkukuhkan pasukan. Tapi apa yang berlaku, mereka membazir dengan membeli pemain import yang tidak berkualiti.
"Lebih memburukkan keadaan mereka juga mengambil jurulatih (Ashley Westwood) yang tidak bagus. Bila Zainal (Abidin Hassan) mengambil alih, keadaan sudah terlambat.
"Ini semua berlaku kerana pengurusan FAP (Persatuan Bolasepak Pulau Pinang) tidak ada latar belakang bola sepak tapi berlagak terlebih pandai daripada pakar," ujar legenda bola sepak negara itu.
Selain menggunakan khidmat Westwood, pasukan bergelar Harimau Kumbang itu dilengkapi pemain import, Reinaldo Lobo (Brazil), Diogo Ferreira (Australia), Andy Russell (Hong Kong) dan Nigel Dabingyaba (Papua New Guinea).
Bagaimanapun Lobo, Ferreira dan Russell kemudian digantikan oleh Brandon McDonald, Mark Hartmann dan Sanna Nyassi semasa jendela perpindahan pada pertengahan musim lalu.
Namun ia gagal mengubah nasib Pulau Pinang yang menduduki tangga tercorot dengan hanya mengutip 12 mata daripada 22 perlawanan serta tersingkir ke Liga Perdana.
Shukor turut menempelak sikap sambil lewa FAP dalam membentuk pasukan untuk menghadapi musim 2018.
Ia terbukti apabila mereka masih belum memilih presiden baru selepas Zairil Khir Johari meletak jawatan pada 9 Oktober lalu.
"Bagaimana mereka hendak bergerak jika presiden pun tidak ada. Ketika pasukan lain rancak membuat persiapan, Pulau Pinang masih 'tidur' seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku.
"Kalau beginilah, tidak mustahil mereka akan jatuh pula ke Piala FAM seperti sebelum ini," kata Shukor merujuk kepada sejarah pasukan itu yang pernah beraksi dalam pertandingan kelas ketiga itu pada musim 2012 dan 2013- BH
No comments:
Post a Comment