IKEA Tebrau, pusat perabot Sweden yang terbesar di Asia Tenggara menjadi tumpuan orang ramai apabila ribuan pengunjung rata-ratanya penduduk negeri ini ‘menyerbu’ pusat tersebut hari ini.
Mula dibuka kepada orang ramai secara rasmi bermula pukul 10 pagi, dianggarkan 20,000 pengunjung memilih untuk berada di IKEA Tebrau yang dibangunkan di atas kawasan seluas 46,713 meter persegi dengan 54 bilik pameran.
Pengarah Peruncitan IKEA Asia Tenggara, Mike King berkata, dengan pembukaan gedung terbaharu itu, IKEA Tebrau sudah bersedia untuk menyediakan pelbagai jenis perabot kepada orang ramai terutamanya penduduk di bandar raya ini.
“Setelah persediaan dilakukan selama berbulan-bulan, kami teruja untuk membuka pintu, sekali gus memberikan pengalaman membeli-belah yang unik kepada rakyat negara ini,” katanya pada pelancaran gedung itu.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong; Pengarah Urusan IKEA Asia Tenggara, Christian Rojkjaer dan Pengurus Stor IKEA Tebrau, Annie Chandler.
Advertisement
Pada perasmian itu, satu acara menggergaji kayu diadakan sebagai simbolik pembukaan rasmi IKEA Tebrau. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment