Friday, 10 November 2017

Bajet 2018 Pulau Pinang tidak sihat



PULAU PINANG 10 Nov. - Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mempersoalkan Bajet 2018 Pulau Pinang yang dibentangkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng 2 November lalu kerana disifatkan sebagai tidak sihat.

Datuk Dr. Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berkata, kerajaan negeri menganggarkan defisit sebanyak RM748.5 juta untuk bajet tersebut apabila mereka membandingkan antara pendapatan (RM503.8 juta) dan perbelanjaan pengurusan (RM1.25 bilion).


Selain itu katanya, pihaknya dapat menyaksikan tiada lebihan dalam aspek pembangunan kerana kerajaan negeri menganggarkan pendapatan dan perbelanjaannya berjumlah sama iaitu hampir RM685 juta.

"Bagaimanapun setelah saya semak dengan membandingkan antara hasil tahun 2018 dan perbelanjaan mengurus serta perbelanjaan pembangunan mendapati jumlah defisit lebih RM1.43 bilion.

"Ini adalah 2.84 kali atau 284 peratus lebih besar daripada jumlah hasil negeri dan keadaan ini tidak sihat," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Farid turut meminta kerajaan negeri menjelaskan peruntukan lebih RM639,000 untuk bayaran balik kepada Penang Development Corporation (PDC) selain RM2.2 juta untuk bayaran balik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) serta pindahan dari akaun hasil disatukan berjumlah RM600 juta.

"Keadaan itu menunjukkan sebanyak RM600 juta diambil daripada tabung negeri dan kita harus ingat bahawa PDC telah diberi pinjaman jumlah sama selain PBAPP turut meminjam RM30,000.

"Mampukah PDC membayar balik pinjaman wang yang sungguh besar itu? Apa sudah jadi dengan pendapatan PDC? Adakah mereka hampir muflis?" soalnya. - UTUSAN ONLINE


No comments:

Post a Comment