Friday, 6 October 2017

Tambak laut ancam nyawa nelayan

PULAU PINANG 5 Okt. - Seorang nelayan, Mohamad Maidin Hamid, 63, mendakwa berdepan detik mencemaskan yang hampir meragut nyawanya akibat projek tambak laut di perairan Queensbay, di sini Julai lalu.

Menceritakan pengalaman itu, Mohamad Maidin berkata, bot yang dinaikinya terlanggar boya yang dipasang pemaju berhampiran projek tambak laut dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi.


Menurutnya, akibat perlangga­ran itu, bot serta peralatan menangkap ikannya mengalami ke­rosakan teruk selain 10 pukat yang dipasangnya di perairan tersebut didapati dipotong.

“Pihak pemaju tambak laut mengambil mudah aspek kese­lamatan nelayan apabila tidak memasang lampu amaran pada boya-boya mereka menyebabkan bot saya terlanggar salah satu boya itu.

“Saya bernasib ba­ik kerana berjaya menghubungi dan diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Ma­ritim Malaysia) tetapi menanggung ke­rugian kira-kira RM2,500,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, apa yang dikesalkan adalah nasibnya selepas kejadian itu seolah-olah tidak dipedulikan meskipun sudah membuat adu­an kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang dan pihak pemaju.

Malah, katanya, pihak pemaju projek tambak laut itu juga hanya menawarkan ganti rugi seba­nyak RM700 kepadanya yang jelas tidak berbaloi dengan kerugian yang dialaminya.

Sehubungan itu, katanya, dia turut membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut apatah lagi terdapat beberapa nelayan lain juga berdepan ancaman keselamatan ketika turun menangkap ikan disebabkan projek tambak laut berkenaan.

“Selain itu, projek tambak laut ini juga menyebabkan hasil laut semakin berkurang sekali gus menjejaskan mata pencarian kami.

“Perairan yang terletak ber­dekatan Pulau Jerejak ini dulunya merupakan lubuk kepada pelbagai hidupan laut namun hari ini semuanya pupus disebabkan projek tambak laut di sini,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Maidin menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya lebih prihatin dengan nasib nelayan di negeri ini yang kini semakin terhimpit dalam mencari rezeki ekoran kelulusan projek tambak laut di negeri ini.

No comments:

Post a Comment