Kerajaan DAP Pulau Pinang diselar kerana disifatkan seolah-olah cuba mengelirukan pemikiran rakyat dan menimbulkan curiga terhadap Kerajaan Persekutuan selepas mempersoalkan peruntukan RM2 bilion yang disalurkan bagi mengatasi masalah banjir.
Sambil mempertahankan jumlah peruntukan yang disalurkan itu, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, dana tersebut juga disahkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk projek tebatan banjir di negeri ini.
Menurutnya, peruntukan itu disalurkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berjumlah RM1.48 bilion; RMK-10 (RM404 juta) dan RMK-11 (RM150 juta).
“Dakwaan Kerajaan DAP Pulau Pinang kononnya peruntukan RM1.7 bilion dan RM1.1 bilion masih belum dijelaskan oleh Kerajaan Persekutuan adalah satu kenyataan yang mengarut dan tidak cerdik.
“Ia menggambarkan pemimpin kerajaan negeri tidak tahu-menahu tentang apa yang sebenarnya berlaku di negeri yang mereka tadbir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zainal Abidin berkata, adalah memalukan untuk pemimpin Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak mengetahui mengenai projek tebatan banjir di negeri ini sedangkan semuanya dalam pengetahuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.
Menurutnya, tanpa peruntukan tersebut keadaan banjir di negeri ini pasti akan lebih teruk terutama di sekitar kawasan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang telah dilaksanakan.
“Mereka yang bukan berasal dari Pulau Pinang seperti Ketua Menteri tidak akan faham dan tahu tentang perkara sebegini.
“Sebab itu saya minta pemimpin Kerajaan DAP Pulau Pinang semak semula dengan JPS negeri sekali lagi sebelum melemparkan tuduhan tidak berasas,” katanya
No comments:
Post a Comment