Tuesday, 26 September 2017

Better Beer Festivals undang masalah sosial

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Penganjuran pesta arak, Better Beer Festival 2017 yang dirancang diadakan secara terbuka boleh mengundang pelbagai masalah sosial, sekali gus menyinggung sensitiviti rakyat di negara ini.

Presiden Malaysia Hindu Sangam, Datuk R.S. Mohan Shan berkata, hal demikian juga akan mengganggu keharmonian masyarakat pelbagai agama di negara ini.


“Selama ini, kita tidak pernah menghalang mana-mana penganut agama untuk minum arak. Malah, arak juga dijual di kedai dan kelab malam tetapi itu secara tertutup. Saya sangat tidak bersetuju jika pesta itu diadakan secara terbuka kerana mengga­lakkan budaya tidak si­hat seperti mabuk, khususnya golo­ngan remaja yang akan mudah terpengaruh.

“Dalam agama Hindu sendiri, perbuatan meminum arak ditegah, apatah lagi ingin meng­anjurkan pesta secara terbuka. Kalau hendak sangat, buatlah secara tertutup, bukan di tempat terbuka. Malah, saya juga menyokong usaha pihak berkuasa yang tegas menghalang penganjuran berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menegaskan pendirian kerajaan negeri untuk membenarkan penganjuran pesta arak dengan syarat peraturan dan undang-undang pihak berkuasa tempatan dipatuhi oleh penganjur.

Isnin lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan permit bagi peng­anjuran pesta berkenaan atas sebab keselamatan, selain bercanggah dengan enakmen yang terkandung dalam undang-undang kecil DBKL.

Pesta berkenaan sepatutnya diadakan pada 6 hingga 7 Oktober ini di pusat beli-belah Publika di sini dengan menampilkan 250 jenama arak berbeza dari 43 kilang arak seluruh dunia.

Dalam pada itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, penolakan permit penganjuran pesta tersebut perlu dilihat dari aspek kese­lamatan.

“Ini kerana amaran yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah berdasarkan risikan yang mana ia berkemungkinan akan me­nimbulkan huru-hara ke­rana ada ancaman yang bersifat real oleh pihak tertentu.

“Semua pihak harus akur dengan amaran PDRM kerana ke­selamatan awam merupakan as­pek yang per­lu dijaga supaya imej negara tidak tercalar sekira­nya sebarang insiden berlaku. Malah, pesta arak juga bukan amalan mana-mana agama di negara ini, sebaliknya lebih kepada budaya moden dari Ba­rat yang menyambutnya pada setiap Oktober,” tegasnya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan berkata, isu berkenaan harus dilihat me­langkaui kepentingan politik se­mata-mata.

“Ada pihak yang dilihat cuba mengambil kesempatan mempolitikkan isu ini dan seolah-olah meraih sokongan pihak ter­tentu. Mana-mana pihak yang mahu menganjurkannya­ harus melihat bagaimana ia tidak mendatangkan impak kepada keseluruhan penduduk di negara ini.

“Ini kerana bagi segelintir kumpulan (penganut agama), minum arak tidak bertentangan dengan akidah mereka. Namun, kita perlu pastikan sejauh mana ia tidak mengganggu-gugat keharmonian kaum kerana setiap keputusan yang dibuat perlu diteliti secara menyeluruh,” katanya.

No comments:

Post a Comment