PULAU PINANG.– Sikap
Kerajaan DAP Pulau Pinang yang dilihat menjadikan hujan lebat sebagai alasan
banjir di negeri ini diselar kerana seolah-olah lepas tangan dengan pelbagai
projek pembangunan tidak dirancang yang dilaksanakan di negeri ini.
Ahli Parlimen Balik
Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, banjir yang berlaku kelmarin
disifatkan sebagai paling teruk sejak lebih 10 tahun lalu dan diyakini berpunca
daripada aktiviti penggondolan bukit bagi projek komersial yang sepatutnya
menjadi tempat tadahan air hujan.
Menurutnya, kerakusan
menceroboh kawasan bukit itu menyebabkan air hujan mengalir deras dan warnanya
keruh kerana telah menghakis tanah.
Ujar beliau, fenomena
hujan luar biasa juga berlaku ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN)
tetapi kerajaan negeri ketika itu merancang pembangunan bagi mengelakkan
banjir teruk seperti kelmarin.
“Kita tetapkan
prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak membebankan penebangan pokok pada
ketinggian melebihi 250 kaki (76 meter).
“Tapi itu tidak
berlaku pada era kerajaan negeri hari ini, apabila kita tanya, kerajaan negeri
jawab macam-macam sama seperti janji sampai ke langit,” katanya ketika berucap
dalam program sembang santai di Pangsapuri Nuri, Bayan Lepas di sini kelmarin.
Kelmarin, negeri ini
dilanda banjir yang disifatkan paling teruk dalam tempoh 10 tahun kerana
melibatkan ratusan penduduk di empat daerah dipindahkan di pusat pemindahan
selain berlaku tanah runtuh dan seorang wanita lemas.
Mengulas lanjut,
Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan turut menyelar pentadbiran kerajaan
negeri yang disifatkan seolah-olah mentadbir negeri ini seperti sebuah
‘organisasi perniagaan’ kerana hanya mementingkan keuntungan berbanding
keselamatan rakyat.
Kata beliau, selain
penerokaan hutan berlaku tanpa kawalan, tanah rakyat juga dijual bagi tujuan
projek pembinaan komersial yang hanya menguntungkan pemaju.
“Sebab itu, rakyat
perlu menilai tindakan rakus kerajaan negeri hari ini, jangan hanya mahu
mencuba kepemimpinan baharu sehingga sanggup menggadai hak mereka,” katanya.
UTUSAN
No comments:
Post a Comment