Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengingatkan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk tidak membangkitkan isu tuntutan Filipina ke atas Sabah sebagai bahan untuk “politik murahan”.
Anifah yang juga ahli Parlimen Kimanis berkata tuduhan Setiausaha Agung Warisan, Loretta Padua Jr yang kerajaan tidak mahu menyelesaikan secara muktamad tuntutan oleh Filipina ke atas Sabah adalah tidak berasas.
“Tuduhan ini adalah tidak berasas, provokatif, mengelirukan dan harus dikutuk sekeras-kerasnya,” kata beliau dalam satu kenyataan
Anifah juga mengulangi pendirian kerajaan tuntutan Filipina ke atas Sabah adalah tidak berasas dan Sabah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak penubuhannya pada 16 Sept, 1963.
“Oleh itu, Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak mengenai Sabah,” kata beliau.
Loretta pada 28 Julai menuduh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein cuba mengalihkan soalan mengenai tuntutan itu, yang ditimbulkan oleh presiden parti, yang juga ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal di Dewan Rakyat sehari sebelum itu dengan membangkitkan mengenai ancaman oleh kumpulan IS di rantau itu.
Anifah juga berkata sebagai ahli Parlimen selama beberapa tahun, Shafie tentu mengetahui mengenai pendirian Malaysia berhubung isu tersebut.
“Pada masa yang sama, beliau juga tahu bahawa perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Menteri Luar dan bukan Menteri Pertahanan… dan respons berikutnya oleh parti itu rata-rata adalah percubaan untuk mengelirukan dan memperdayakan rakyat.”
No comments:
Post a Comment