Tuesday, 8 August 2017

3 juara dunia pembawa bendera kontinjen KL2017


KUALA LUMPUR: Tiga juara dunia diberi penghormatan untuk membawa bendera ketika perarakan masuk kontinjen negara pada acara pembukaan Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada 19 Ogos ini.
Atlet terbabit adalah jaguh trek negara Mohd Azizulhasni Awang, ratu terjun Cheong Jun Hoong dan pesilat negara Mohd Al Jufferi Jamari.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin selepas menyampaikan amanat terakhir kepada kontinjen negara malam ini.
3-juara

“Kita buat sedikit kelainan pada Sukan SEA kali ini yang mana kita ada 3 pembawa bendera. Ketiga-tiga atlet ini adalah juara dunia,” katanya.
Azizulhasni meraih gelaran juara dunia acara keirin di Kejohanan Dunia Berbasikal Trek di Hong Kong pada April tahun ini.
Jun Hoong pula memecah dominasi China di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest selepas menang acara 10m platform wanita bulan lepas.
Sementara Mohd Al Jufferi muncul juara kelas Putra E di Kejohanan Pencak Silat Dunia di Bali, Disember tahun lepas.
Ketika ditemui, Mohd Al Jufferi berkata beliau terkejut dengan pengumuman berkenaan namun berbangga dengan peluang yang telah diberikan kepadanya untuk menjadi antara pembawa bendera.
“Terima kasih kepada YB Khairy untuk peluang ini. Saya terus rasa bersemangat untuk berjuang habis-habisan untuk negara,” katanya yang tidak sabar untuk beraksi di temasya KL2017.

No comments:

Post a Comment