Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata permohonan pendaftaran sebagai pemilih itu terdiri daripada 157,373 pemilih baharu dan 56,745 permohonan untuk pertukaran alamat bahagian pilihan raya daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan SPR.
Beliau berkata Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun 2/2017 akan dipamerkan selama 14 hari mulai 19 Julai hingga 1 Ogos di 960 tempat pameran di seluruh negara selaras dengan kehendak Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
“Sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat bahagian pilihan raya pada April, Mei dan Jun 2017 dinasihatkan menyemak Rang DPT Suku Tahun 2/2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Ghani berkata SPR juga akan mempamerkan nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih semasa tempoh pameran rang daftar pemilih tambahan itu.
“Antara asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati tidak berhak untuk terus kekal di dalam daftar pemilih atas sebab-sebab tertentu antaranya ialah meninggal dunia, melepas atau lucut hak warganegara,” katanya.
Bagi permohonan pendaftaran baharu, katanya, jika pemohon mendapati namanya tidak tersenarai di dalam Rang DPT tersebut, mereka boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan menyerahkannya kepada Pendaftar iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi kawasan pendaftaran berkenaan pada waktu pejabat pada hari bekerja dalam tempoh pameran Rang DPT itu.
Bagi pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang DPT Suku Tahun 2/2017, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C, katanya.
“Seorang pembantah boleh membantah tidak melebihi 20 orang selaras dengan Peraturan 15 (3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002,” katanya.
Beliau berkata bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada hari bekerja dalam tempoh pameran rang daftar pemilih tambahan itu.
No comments:
Post a Comment