Tuesday 18 July 2017

DR MAZA, DR MAMA DAN DR MUYU: Tiga Dalam Satu


Membaca kembali buku-buku Dr Mujahid Yusof (Dr MUYU), dapatlah difahami bahawa beliau, Dr Maszlee Malik (Dr MAMA) dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA) rupa-rupanya adalah tiga sekawan.
Untuk buku “Rejuvenasi PAS” tulisan Dr Mujahid dan terbitan ILHAM Centre pada tahun 2012, Dr Maszlee dan Dr Mohd Asri-lah yang menulis kata pengantar dengan mengangkat buku ini hingga ke langit biru.
Di dalam kata-kata aluan beliau pada buku “Rejuvenasi PAS” ini, Dr Mohd Asri menulis mengenai betapa Dr Mujahid “akan dikenang dalam sejarah PAS pada satu hari nanti atas usaha pembaharuannya”.
Dr Maszlee pula menulis mengenai betapa “lontaran idea (Dr Mujahid) yang amat berharga ini akan menjadi satu magnum opus bagi PAS untuk melakarkan sejarah baru di tanah air Malaysia yang tercinta”.
Bagaimanapun, lambungan tinggi Dr Mohd Asri dan Dr Maszlee ke atas buku ini, termasuk dengan menyifatkannya sebagai satu masterpiece atau karya besar, masih gagal melonjakkan buku ini dan Dr Mujahid.
Bukan saja teori tiga keluk PAS ciptaan Dr Mujahid, dengan setiap satu keluk kononnya mempunyai jangka hayat antara 28-30 tahun, tidak menjadi realiti, Dr Mujahid sendiri tercampak keluar dari kepimpinan PAS.
Kalaupun buku “Rejuvenasi PAS” ini akan dikenang, ini hanyalah kerana ia adalah buku pertama dalam mana seorang pemimpin PAS menuduh “salah tadbir dan rasuah menguasai kerajaan negeri (Kelantan)”.
Buku ini juga boleh dikenang sebagai bukti usaha Dr Mujahid merombak hasil kerja ayahandanya dengan cuba mengubah Kepimpinan Ulama’ menjadi Kepimpinan Islam, Kepimpinan Berkebajikan atau Kepimpinan Wasathiyah.
Ia juga boleh dikenang sebagai bukti usaha Dr Mujahid merombak hasil kerja ayahandanya dengan menulis mengenai tanggapan kepada kelemahan Majlis Syura Ulama’ dan cuba mengubahnya menjadi Majlis Perundingan Parti.
Bahawa buku Dr Mujahid gagal menjadi satu magnum opus dan cubaan Dr Mujahid merombak PAS, walaupun dengan sokongan kuat oleh Dr Mohd Asri dan Dr Maszlee, turut gagal, wajar dijadikan iktibar oleh semua.
Ahli akademik perlulah mempertahankan keobjektivitian di dalam menilai sesuatu karya, janganlah hanya kerana ia ditulis oleh sahabat baik yang berkongsi fahaman dengan kita maka terus ia dijulang sebagai satu magnum opus.
Ahli politik yang memasuki sesuatu parti dengan agenda tertentu pula perlulah sedar bahawa, walaupun dengan bersandarkan kepada nama ayahanda sekalipun, anda akan ditolak bila agenda anda dilihat tidak selari dengan dasar parti.

No comments:

Post a Comment