GEORGETOWN: Anugerah 'Best Municipal Manager' dimenangi bekas dan
penyandang jawatan Datuk Bandar Pulau Pinang yang didakwa dibeli daripada
sebuah organisasi antarabangsa menjadi tanda tanya pelbagai pihak.
Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk
Muhammad Farid Saad, mahu kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan sama ada proses
memperoleh kedua-dua anugerah itu mengguna pakai wang rakyat atau sebaliknya.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri perlu juga menjelaskan sama ada
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai
(MPSP) turut membuat bayaran kepada organisasi antarabangsa terbabit.
"Adalah agak menghairankan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam
negeri yang sama di Malaysia boleh memenangi anugerah sama daripada sebuah
organisasi antarabangsa di Eropah, pada dua tahun berturut-turut.
"Europe Business Assembly (EBA) ialah organisasi yang dikatakan
tidak berwibawa untuk mendapatkan anugerah. Justeru, adakah wang milik rakyat
di negeri ini dibelanjakan untuk mendapatkan anugerah terbabit?" katanya
dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada Julai 2014, Datuk Bandar MBPP, Datuk Maimunah Mohd Sharif yang
ketika itu menyandang jawatan Yang Dipertua MPSP serta majlis berkenaan turut
memenangi anugerah sama, daripada EBA dalam majlis diadakan di Stresa, Itali.
Malah, MPSP turut menerima tiga sijil pengiktirafan daripada
EBA, iaitu 'Best Holiday Destination', 'Best Cities' dan 'Top
Medical/Travel/Hospitality Web-site'.
Pada Julai 2013, bekas Datuk Bandar MBPP, Datuk Patahiyah Ismail yang
ketika itu menyandang jawatan Yang Dipertua MPSP dianugerah 'Best Municipal
Manager' manakala Majlis Perbandaran Pulau Pinang (kini MBPP) menerima 'Best
Municipality Award' daripada EBA dalam majlis diadakan di Montreuz,
Switzerland.
Sementara itu, EXCO Kerajaan Tempatan, Lalu Lintas dan Tebatan Banjir
negeri, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri kesal berhubung dakwaan anugerah
diterima daripada dua PBT adalah meragukan dan palsu.
Bagaimanapun, katanya, pendedahan terbabit tidak seharusnya dijadikan
asas menafikan pencapaian dan pengiktirafan lain yang diterima MBPP dan MPSP
daripada pelbagai agensi Persekutuan.
"Kami berharap pimpinan di kedua-dua PBT ini dapat mengambil
pengajaran dan lebih berhati-hati apabila dicalonkan untuk anugerah seumpama
itu, " katanya.
No comments:
Post a Comment