Tuesday 16 May 2017

Zahid mahu semua kaum pimpin Majlis Belia

 Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan Majlis Belia Malaysia (MBM) mempelbagaikan barisan kepimpinannya dengan komposisi kaum dan etnik bagi memayungi belia di negara ini.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MBM akan mengkaji semula perlembagaan pertubuhan induk belia itu agar barisan kepimpinan semua pertubuhan dan persatuan belia di negara ini mencerminkan komposisi kaum dan etnik.
“Kepelbagaian kaum dan etnik dalam pertubuhan dan persatuan belia penting agar semua diberi peluang untuk mewujudkan kepimpinan mantap. Ini membolehkan MBM diperkasakan dan menjadi sebuah pertubuhan induk yang memayungi semua belia di negara ini,” katanya pada majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2017 di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan timbalannya, M Saravanan serta Presiden MBM, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaluddin.

Pada majlis itu, Zahid juga mengumumkan kerajaan meluluskan dana pentadbiran berjumlah RM10 juta kepada MBM dan semua persatuan belia di bawahnya untuk menjalankan aktiviti dan program belia.

Dalam pada itu, Zahid yang juga menteri dalam negeri menyarankan golongan belia negara menyampaikan pendapat dengan tatasusila dan kebijaksanaan khususnya bagi menangani perbezaan pendapat.

“Jika perbezaan pendapat berakhir dengan polemik, ia tidak membawa apa-apa. Kita harus melakukan wacana secara intelektual dan bukannya dengan emosi.

“Belia mesti belajar (berwacana)…biarpun semangat harimau dan singa, tetapi boleh berbicara dengan kelembutan. Tak perlu bersuara tinggi kalau berbeza pendapat.

“Ubahlah kaedah dan metodologi untuk menangani perbezaan pendapat,” kata beliau.
Sementara itu, Khairy berkata, KBS akan bertemu dengan kepimpinan MBM dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan timbalan perdana menteri itu.

Ketika ini, katanya, terdapat lebih 200 persatuan dan pertubuhan belia di bawah naungan MBM dengan komposisi kepimpinan tertinggi berdasarkan keanggotaan dan tidak mengikut latar belakang etnik.

“Namun, bagi Parlimen Belia dan Majlis Perundingan Belia Negara, ada kuasa lantikan menteri yang digunakan untuk memberi tempat kepada belia yang datang daripada kumpulan yang tidak diwakili.
“Jadi mungkin perkara sama boleh kita bincang terutama untuk peringkat dewan tertinggi MBM,” katanya.

No comments:

Post a Comment