Tuesday 23 May 2017

Tolak usul Guan Eng bercuti dipersoal


PULAU PINANG 22 Mei – Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mempersoal ketelusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Law Choo Kiang yang tidak membenarkan usul supaya Ketua Menteri, Lim Guan Eng bercuti dikemukakan.

Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid berkata, Choo Kiang hanya merujuk kepada Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pulau Pinang) 1997.
Sedangkan jelas beliau, usul supaya Guan Eng atau penjawat awam bercuti itu sepatutnya dirujuk di bawah Peruntukan Fasal 31 Peraturan Mesyuarat DUN.

“Dalam peruntukan itu me­nyatakan mana-mana anggota pentadbiran dan penjawat awam negeri yang didakwa di mahkamah atas kesalahan jenayah undang-undang Malaysia perlu bercuti daripada jawatan dipegangnya sehingga kes selesai.

“Kami tidak hanya merujuk kepada penjawat awam tetapi turut melibatkan barisan pentadbiran termasuk Ketua Menteri dan 10 Exco kerajaan negeri serta semua penjawat awam di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Jahara, pihaknya juga kesal dengan tindakan Choo Kiang yang seolah-olah menyekat peluang mereka menyuarakan isu rakyat dalam sidang DUN kali ini.

“Tidak guna kalau kita datang dengan perlindungan kerajaan untuk membawa isu melibatkan rakyat, tetapi mulut kita dikunci dan semua yang diusulkan ditolak hanya dengan alasan tidak munasabah.

“Speaker Dewan seperti hendak mempertahankan seseorang sedangkan kita mahu ketelusan, integriti dan kebebasan bersuara diamalkan seperti yang kerajaan negeri katakan sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, sidang DUN pagi ini juga kecoh selepas wakil rak­yat BN mempertikai keputusan Choo Kiang menolak usul supaya Guan Eng bercuti daripada dibahaskan dengan alasan teknikal.

Choo Kiang berkata, usul berkenaan ditolak kerana perkara itu sudah termaktub dalam Peraturan-peraturan Pegawai Awam Kerajaan Negeri termasuk kes membabitkan prosiding mahkamah, disabit kesalahan atau dalam tempoh rayuan.

Bagaimanapun, Datuk Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) mendakwa jawapan Choo Kiang itu tidak jelas dan menegaskan pihaknya tidak meminta Guan Eng meletak jawatan atau hilang kelayakan sebagai ahli dewan sebaliknya bercuti sementara menunggu siasatan kesnya selesai.

“Usul kita hanya meminta supaya pegawai kerajaan negeri yang sedang disiasat bercuti bagi membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan, bukannya soal hilang kelayakan.


“Tetapi speaker hanya jawab enam baris dalam jawapan bertulis dan itu pun tidak jelas. Tidak timbul isu ketidakadilan dalam usul ini dan sebab itu penting untuk ia dibahaskan,” katanya.

UTUSAN

No comments:

Post a Comment