Sejarah Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pakatan Harapan yang baharu.
Pada satu ketika dahulu, ada tiga pemimpin Umno. Seorang mahu menjadi penasihat kepada parti manakala satu lagi mahu menjadi Presiden dan seorang mahu menjadi Naib Presiden.
Dengan menyalahkan politik wang, kronisme dan kononnya tiada demokrasi, ketiga-tiga mereka tidak mendapat apa yang mereka kehendaki lantas meninggalkan Umno.
Mereka kemudian menubuhkan sebuah parti yang dinamakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi).
Tanpa pemilihan mahupun demokrasi, mereka melantik diri sendiri sebagai pengerusi, presiden dan timbalan presiden,
Wujud juga kumpulan dari Umno yang kecewa kerana tidak mendapat jawatan paling rendah sebagaimana diidamkan, dengan mendakwa wujudnya kronisme dan politik wang dalam Umno.
Mereka juga meninggalkan Umno dan menyertai Pribumi.
Tidak lama kemudian, ramai di kalangan mereka ini turut meninggalkan Pribumi kerana tidak memperolehi jawatan yang mereka kehendaki, dengan mendakwa wujud kronisme dan politik wang dalam Pribumi.
Memandangkan masih kecil, Pribumi yang nama dan halatuju mereka adalah untuk memperjuangkan hak bumiputera dan pribumi kemudiannya menyertai Pakatan Harapan yang diterajui DAP, sebuah parti yang kewujudannya adalah untuk menghapuskan keistimewaan bumiputera dan pribumi dengan meneriak konsep Malaysian Malaysia.
Pada ketika ini, mereka masih lagi tidak dapat bersetuju akan calon Perdana Menteri kerana terlalu sibuk bertelagah sesama sendiri sama ada untuk mengumumkan calon Perdana Menteri jika kesemua mereka sudah bersetuju dengan satu nama.
Bagaimanapun, mereka sudah bersetuju terhadap satu polisi ekonomi iaitu untuk membawa Malaysia mengundur dengan menghapuskan GST, melaksanakan subsidi menyeluruh dan meningkatkan cukai pendapatan dan korporat bagi menjadikan negara ini kurang menarik kepada pelaburan, sedangkan negara lain di dunia bergerak ke arah bertentangan dengan melaksanakan GST, menghapuskan subsidi secara menyeluruh dan mengurangkan cukai pendapatan dan korporat bagi berdaya saing.
Secara bersama-sama, Pribumi dan sekutu mereka dalam Pakatan Harapan kini komited untuk mencari jalan menyelamatkan Malaysia dari dimusnahkan oleh diri mereka sendiri.
Itu dia sejarah untuk anda, sejarah Parti Pribumi Bersatu Malaysia setakat ini.
Oleh Lim Sian See
No comments:
Post a Comment