Thursday 25 May 2017

Najib jauh lebih bijak dalam percaturan politik - Salleh Keruak

 Perkembangan politik negara terutama ketika negara bakal menempuh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan Datuk Seri Najib Razak jauh lebih layak untuk memimpin negara dan bijak mengetuai gerak langkah percaturan politik pada masa ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, ini terbukti apabila perdana menteri lebih awal, iaitu pada Disember tahun lepas sudah mampu membaca strategi disusun Penasihat DAP, Lim Kit Kiang yang menyatakan PRU14 bakal menjadi medan bagi rakyat Malaysia untuk memilih antara kerajaan diketuai Umno atau kerajaan diketuai DAP.

“Perdana menteri kita dengan bijak telah membaca dan menganalisa cara permainan dan percaturan politik yang dibuat DAP.
“Beliau (Najib) tahu Lim Kit Siang sangat takut jika orang Melayu tahu DAP paling berkuasa dalam Pakatan Harapan dan DAP yang buat keputusan penting atau ‘last word’,” katanya dalam catatan terkini di blog sskeruak.blogspot.com, hari ini.

Menurutnya, politik pembangkang sekarang menyaksikan DAP yang akan menentukan siapa perdana menteri dan timbalan perdana menteri, jika pakatan pembangkang mengambil alih Putrajaya atas sebab DAP mempunyai kerusi Parlimen paling banyak dalam Pakatan Harapan.

“Kedudukan DAP dalam Pakatan sama seperti kedudukan Umno dalam Barisan (Nasional), maka sebab itu Umno duduki jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri,” katanya.
Salleh yang juga bendahari Umno berkata, atas faktor inilah DAP menggalakkan parti Melayu, contohnya PPBM yang hanya miliki 1 kerusi Parlimen, mempamerkan cita-cita mereka untuk menjadi perdana menteri.

“Ini merupakan strategi DAP untuk mempamerkan ‘Malay face’ sebagai satu propaganda politik,” katanya.

PPBM mempunyai kerusi Parlimen tunggal menerusi Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku ahli Parlimen Pagoh.

No comments:

Post a Comment