25 MEI: Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Teluk Bahang Shah Headan Ayoob Hussain Shah menyifatkan cadangan
kerajaan DAP Pulau Pinang membuat pinjaman daripada sebuah bank di China bagi
membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) sebagai satu tindakan
berisiko.
Beliau
berkata tindakan melabur wang pinjaman berkenaan bagi membiayai PTMP bakal
membebankan generasi akan datang berikutan sektor pengangkutan tidak memberi
pulangan dan keuntungan yang tinggi.
“Bagaimana
nak dapat cukup penumpang untuk membiayainya. Negara yang ada kepadatan
penduduk yang tinggi seperti Hong Kong pun rugi, dan ini akan bawa masalah
kepada Pulau Pinang. Di Pulau Pinang pula tidak buat (pengangkutan awam) di
seluruh Pulau Pinang, hanya di bahagian pulau.
“Penduduk
yang nak guna pengangkutan awam ini pun tak cukup untuk menyokong perniagaan
ini. Saya tak nampak logik untuk membiayai pengangkutan dengan jarak yang
pendek dan penduduk tak ramai,” katanya pada sidang media di lobi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.
Terdahulu,
persidangan DUN Pulau Pinang meluluskan Rang Undang-undang Pinjaman Negeri
Pulau Pinang (Bank dan Sumber-sumber Kewangan Lain) 2017 yang membolehkan
kerajaan DAP Pulau Pinang membuat pinjaman daripada China Exim Bank.
Ketua
Menteri Lim Guan Eng ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata jumlah
wang yang dipinjamkan berkenaan disediakan untuk tujuan membiayai pelaburan,
pelaksanaan pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial bagi negeri ini serta
perkara-perkara berkaitan termasuk melaksanakan PTMP 2013-2030.
Shah
Headan berkata kerajaan negeri perlu membuat kajian secara menyeluruh terlebih
dahulu sebelum memutuskan untuk menggunakan pinjaman berkenaan bagi membiayai
PTMP.
Ditanya
mengapa tidak ada seorang wakil rakyat Barisan Nasional mengambil bahagian pada
sesi perbahasan rang undang-undang itu, beliau berkata pihaknya tidak mahu
kenyataan mereka dimanipulasi oleh ‘cyber troopers’.
Projek
PTMP yang melibatkan kos RM27 bilion, mengandungi sebuah terowong dasar laut
sepanjang 6.5km, tiga lebuh raya, LRT dan Penang Sky Cab (kereta kabel).
No comments:
Post a Comment