Wednesday 31 May 2017

Khairy Sindir tindakan Guan Eng


KUALA LUMPUR 30 Mei – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyindir tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang turut meminta bantuan pinjaman dari China bagi membiayai projek pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu.

Katanya, tiada sesiapa pun sedang ‘menjual’ negara menerusi tindakan itu kerana Kerajaan Persekutuan turut melakukan tindakan sama untuk projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

“China memberi bantuan modal. Kerajaan Persekutuan juga mendapatkan pinjaman dari China untuk projek ECRL. Itu perkara biasa. Tiada siapa sedang menjual Malaysia,” katanya menerusi Twitter beliau, hari ini.


Pakatan pembangkang sebelum ini sering memutarbelitkan setiap tindakan kerajaan termasuk menuduh menjual ‘kedaulatan negara’ kepada China kerana membawa masuk pelaburan bernilai RM144 bilion menerusi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara itu baru-baru ini.

Tuduhan itu adalah tidak adil kerana jumlah pelaburan besar itu memberi manfaat kepada rakyat termasuk pelaksanaan projek ECRL sepanjang 620 kilometer.

Dalam sidang akhbar hari ini, Guan Eng memberikan alasan bahawa tindakan kerajaan negeri itu membuat pinjaman dari China adalah untuk merapatkan jurang kewangan bagi membiayai projek LRT tersebut sebelum dana asal pembiayaannya diperoleh daripada pendapatan penjualan tanah dalam tempoh dua tahun lagi.

Baru-baru ini, Badan Perhubungan UMNO negeri itu menempelak Guan Eng dan melahirkan rasa hairan mengapa kerajaan negeri perlu membuat pinjaman dengan bank asing iaitu dari Bank Eksport-Import China (Exim Bank of China) sedangkan sering mendakwa mempunyai wang mencukupi kerana perbelanjaan berhemah.

Perkara itu bertentangan dengan dakwaan kerajaan negeri bahawa mereka mempunyai lebihan simpanan kira-kira RM1.2 bilion selain pernah mendakwa memperoleh keuntungan kira-kira RM12.5 bilion hasil penjualan tanah.

No comments:

Post a Comment