Parti Gerakan negeri berharap pengamal media di
negeri ini tidak tunduk atau takut untuk melaporkan sebarang isu serta
kontroversi dalam Kerajaan DAP Pulau Pinang meskipun berdepan dengan ugutan
saman.
Sambil mengecam pendekatan kerajaan negeri itu yang dilihat cubaan
menutup mulut media, Naib Presidennya, Oh Tong Keong berkata, pengamal media
mempunyai tanggungjawab lebih besar iaitu mendedahkan kebenaran kepada rakyat.
Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai menilai sikap sebenar
Kerajaan DAP Pulau Pinang yang melayan media hanya untuk kepentingan mereka
khususnya bagi memenangi pilihan raya umum.
“Pendekatan ini sangat berbeza dengan apa yang diamalkan Gerakan negeri
yang memberi kebebasan sepenuhnya untuk media melaporkan apa-apa isu mengikut
bidang tugas mereka.
“Malah, kita juga sudah tegaskan sebelum ini mana-mana ahli Gerakan yang
cuba mengganggu tugas media bukanlah calon yang layak bertanding dalam pilihan
raya umum akan datang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri, Lim
Guan Eng yang dilihat cuba memberi tekanan kepada pengamal media menerusi
tindakan undang-undang.
Malah, beberapa akhbar Cina yang sebelum ini menjadi tulang belakang
kepada kemenangan DAP dalam pilihan raya umum lalu turut menjadi sasaran hanya
kerana melaporkan perkara bertentangan dengan dasar kerajaan negeri.
Menurutnya, antara media yang pernah terlibat dengan tindakan sekatan
melaporkan berita oleh Guan Eng ialah Kwong Wah Yit Poh pada Mei 2013 dan
Disember 2016, China Press (Julai 2014, Mac 2015 dan November 2016) dan Sin
Chew Daily (Februari 2014).
Terbaharu, kata beliau, pada Februari lalu, China Press dan Sin Chew
Daily sekali lagi menerima kecaman daripada Guan Eng kerana kononnya melanggar
etika liputan berita berkaitan pengharaman mesin simulator di negeri ini.
“Banyak lagi laporan berita berkaitan masalah dihadapi rakyat yang
berpunca daripada kerajaan negeri dilihat sebagai tidak tepat dan wartawan
berkenaan menerima pelbagai bentuk amaran dan teguran sekali gus dilihat cubaan
menakut-nakutkan media,” katanya.
No comments:
Post a Comment