Bermula 1 Mac 2017, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengumumkan, berlaku sedikit kenaikan pada harga gula di pasaran tempatan. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak KPDNKK, harga terkini gula pasir putih kasar adalah pada harga RM 2.95, kenaikan sebanyak RM 0.11 sen berbanding sebelumnya.
Seperti biasa, kenaikan ini disambut bagai penuh pesta oleh pihak pembangkang dan penyokongnya. Mereka pantas mengaitkan kemungkinan bakal berlaku lonjakan harga barangan di pasaran tempatan terutamanya barangan yang ada hubung kait dengan penggunaan gula pasir ini.
Persoalannya, perlukah harga gula ini dinaikkan? Untuk ini, menurut satu sumber dari KPDNKK yang enggan namanya disiarkan memberitahu, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa Malaysia merupakan negara pengimport 100 peratus gula mentah dari dari negara sumber sebelum ianya di proses dan di bungkus di dalam negara.
Mungkin ada yang menyangka, Malaysialah negara pengeluar gula dan tanggapan ini harus diperbetulkan kerana Malaysia adalah negara pengimport dan bukannya pengeksport.
Disamping itu juga, sebagai negara pengimport, kejatuhan Ringgit Malaysia di pasaran global turut menyumbang kepada kenaikan sedikit harga gula. Ini kerana, apabila Ringgit Malaysia mengalami kejatuhan, Malaysia terpaksa membayar agak tinggi untuk membeli gula mentah dari negara pengeluar dan pastinya, ia sedikit sebanyak mengubah wang yang dibelanjakan untuk mengimport gula mentah.
Satu lagi perkara yang harus difahami oleh semua, berlaku kenaikan dari segi kos logistik di mana seluruh dunia kini berhadapan dengan kekurangan kapal. Mungkin ianya dilihat agak sinikal, namun itulah hakikat yang terpaksa di tanggung kerajaan dan KPDNKK apabila berurusan dengan negara pembekal gula mentah ini.
Seperti kenaikan harga gula pasir putih sebelum ini, KPDNKK sentiasa cuba untuk mengekang sebarang penyeludupan keluar gula kepasaran negara jiran, contohnya Thailand. Untuk pengetahuan, gula-gula pasir putih yang diseludup ke Thailand akan ditukar label dan pembalutnya sebelum ianya dijual pada harga dari RM 3 sekilogram.
Ini menyebabkan negara mengalami kerugian mencecah jutaan Ringgit akibat daripada penyeludupan yang amat sukar dikekang. Justeru, sebagai salah satu langkah, kenaikan ini dilihat mampu untuk mengekang kegiatan penyeludupan disamping mengurangkan margin keuntungan haram penyeludup di pasaran Thailand.
Jika mengikut dakyah fitnah pembangkang, mereka mendakwa, harga gula Malaysia adalah yang tertinggi di Asia Tenggara. Persoalannya, benarkah dakwaan ini? Mengikut rekod dari pihak KPDNKK dan kajian rawak oleh pakar-pakar ekonomi, rakyat Malaysia harus bersyukur kerana Malaysialah negara paling murah harga gula pasir jika dibanding dengan beberapa negara ASEAN yang lain.
Menerajui harga gula ini adalah Indonesia yang menjual RM 5.16 sekilogram, Singapura RM 4.69 sekilogram, Filipina RM 3.74 sekilogram dan Thailand RM 3.00 sekilogram. Bagi Malaysia pula, setelah kenaikan sebanyak RM 0.11 sen, harga terkini gula pasir putih negara baru RM 2.95 sekilogram. Jika dinilai dari perbandingan ini, adakah Malaysia menjual gula jauh lebih tinggi berbanding negara jiran yang lain?
Berpijaklah di bumi realiti. Secara normalnya, sesebuah keluarga normal, bukannya peniaga, menggunakan tidak lebih sekilogram gula untuk sebulan. Jika lebih sekalipun, mungkin dua kilo dimana kesannya hanyal RM 0.22 sen sebulan. Adakah kita akan jatuh papa kedana akibat kenaikan RM 0.22 sen ini?
Dalam hal ini, mungkin pihak KPDNKK perlu memantau dengan lebih kerap lagi harga pasaran bagi barangan yang menggunakan gula. Seperti biasa, pasti ada peniaga yang akan menaikkan harga barang sesuka hati dengan alasan harga gula sudah meningkat. Ini yang harus diberi perhatian utama supaya peniaga tamak ini dapat dibenteras sebelum pembangkang sekali lagi menjadikan perkara ini sebagai modal menghentam kerajaan.
SAMURAI
No comments:
Post a Comment