Saturday, 17 December 2016

Tulis ‘babi’ atas saman: Peguam negara saran kaji hukuman lebih sesuai

Jabatan Peguam Negara berpendapat hukuman yang diperuntukkan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) perlu dikaji semula.

Merujuk kes seorang ibu tunggal didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan itu di Johor Bahru kelmarin, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, sudah tiba masanya kajian terhadap hukuman di bawah peruntukan tersebut dilaksanakan agar hukuman lebih sesuai dikenakan.

Apandi berkata, hukuman yang dijatuhkan ke atas wanita itu adalah hukuman maksimum yang dibenarkan di bawah peruntukan tersebut.
“Oleh yang demikian, rayuan ke atas hukuman tidak akan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Kelmarin, Tan Yeoh Foong, 53, mengaku bersalah atas tuduhan menulis perkataan kurang sopan dengan tujuan membangkitkan kemarahan di atas kertas saman trafik yang diterimanya pada 14 Disember lalu.

Majistret, Mohd Azlan Shah Mohd Allias yang menjatuhkan hukuman denda itu kepada Tan dan hukuman penjara sebulan akan dikenakan jika gagal membayar denda, turut menasihati tertuduh tidak mengulangi perbuatan itu.

Mengikut kertas pertuduhan, Tan didakwa menulis perkataan kurang sopan, iaitu “Babi” di atas kertas saman yang diterimanya, di Jalan Tun Abdul Razak, Johor Bahru kira-kira 8.55 malam Rabu lalu.

No comments:

Post a Comment