Sunday, 18 December 2016

Bantah tambak laut di perairan selatan Pulau Pinang



GEORGETOWN - Nelayan yang bergantung kepada syurga ikan di Permatang Damar Laut yang menjadi lubuk rezeki mereka berikrar untuk menentang cadangan tebus guna tanah di kawasan itu.
Wakil nelayan negeri, Nazri Ahmad berkata mereka bimbang sekiranya proses tebus guna tanah itu bermula, sejarah nelayan di kawasan itu akan lenyap sepenuhnya.

"Kesannya terlalu besar buat kami dan kami akan kehilangan segalanya, khususnya mata pencarian kami. Tidak kira berapa banyak pampasan yang diberikan, ia tidak akan pernah cukup," katanya pada sesi pendengaran awam mengenai projek tebus guna tanah di sebuah hotel di sini hari ini.

Semasa sesi itu, perunding Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) negeri, Prof Datuk Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah dari Tetuan Dr Nik & Associate berkata berdasarkan kajian awal yang dijalankan mereka, batu karang di Pulau Rimau, kawasan hidupan marin dan lokasi penangkapan ikan serta pendaratan penyu terpaksa dikorbankan dalam proses tebus guna tanah itu.

"Ini dianggap sebagai suatu tukar ganti dan tidak dapat dinafikan bahawa mata pencarian nelayan akan terjejas. Bagaimanapun, negeri ini perlu memberi pampasan bagi kerugian yang mereka alami," kata Sharifah Mastura.    
Selain Nazri, nelayan lain yang mewakili unit mereka di seluruh negeri dan penduduk tempatan turut menyuarakan tidak setuju mengenai tebus guna tanah semasa sesi pendengaran awam itu.
Sebaik sahaja sesi itu berakhir, kira-kira 200 nelayan mengadakan demonstrasi aman terhadap proses tebus guna tanah di luar hotel berkenaan.

Nazri yang juga jurucakap kumpulan nelayan itu berkata mereka akan berdiri teguh atas keputusan mereka untuk menolak tebus guna tanah di kawasan itu.
"Tebus guna tanah itu akan 'membunuh' semua nelayan, dan tidak akan ada lagi pantai untuk nelayan. Semua nelayan akan dipaksa untuk pergi ke laut lepas dan kami hanya mempunyai bot kecil. Bagaimana kami ingin teruskan hidup?" soalnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Trafik dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow berkata walaupun nelayan tidak bersetuju terhadap projek itu, kajian jawatankuasa menunjukkan 46 peratus masyarakat bersetuju atas faedah daripada projek itu.    
"Kita akan mengadakan lebih banyak perjumpaan dengan masyarakat supaya mereka lebih faham mengenai proses tebus guna tanah ini. Kita perlukan proses ini, bukan hanya untuk pelan pengangkutan tetapi juga untuk pertumbuhan ekonomi di negeri ini," katanya.

Beliau berkata dengan tebus guna tanah itu, antara lain, sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) akan dapat berkembang dan lebih daripada 300,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan menjelang 2050.
Laporan EIA akan siap pada Januari dan akan dipaparkan kepada orang ramai. - Bernama










No comments:

Post a Comment