Tuanku Abdul Halim, 89, yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April 2012, dan Tuanku Hajah Haminah meninggalkan Istana Negara dalam acara ringkas namun penuh istiadat diraja pada kira-kira 8.20 pagi.
Keberangkatan balik baginda berdua diiringi Datuk Seri Mahdzir Khalid selaku menteri pengiring dan isteri Datin Seri Noraini Abdullah serta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan isteri Datin Seri Hizam Awang Ahmad.
Ketika berangkat meninggalkan Istana Negara, baginda melintasi pasukan kawalan kehormat darjat daripada Unit I Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang diketuai Mejar Mohamed Zaid Mohamed Tazali, yang turut mempersembahkan “Hormat Diraja”.
Serentak itu, lagu Negaraku dimainkan mengiringi keberangkatan pasangan diraja ke Dataran Parlimen bagi upacara rasmi keberangkatan pulang baginda berdua ke Kedah.
Ketibaan Seri Paduka berdua di Dataran Parlimen diiringi tiupan nafiri oleh 14 anggota daripada Pasukan Istiadat Diraja Tentera Darat dan disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong direndahkan diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das.
Tuanku Abdul Halim kemudian memeriksa barisan Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan 4 pegawai Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Mohd Izham Ahmad Rashidi.
Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, disusuli persembahan ‘Hormat Diraja’ kali kedua serta lagu Negaraku.
Baginda berdua kemudian berkenan bersalaman perpisahan dengan barisan jemaah menteri, ketua jabatan serta diplomat asing sebelum meneruskan perjalanan ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Semasa kenderaan yang membawa baginda berdua melalui Jalan Parlimen, rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam dan kakitangan swasta berbaris di kiri dan kanan jalan mengucapkan selamat jalan kepada Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah.
No comments:
Post a Comment