Thursday 15 December 2016

Skim Kawalan Harga Perayaan Krismas Bagi 18 Barangan

PUTRAJAYA: Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Krismas 2016 bagi 18 barangan harga terkawal akan berkuat kuasa pada 19 hingga 28 Disember ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata skim itu dilaksanakan selama 10 hari iaitu enam hari sebelum perayaan, hari perayaan dan tiga hari selepas perayaan.

Beliau berkata, skim itu dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Antara senarai barangan harga terkawal termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup, ayam belanda import, kepak ayam, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing/biri-biri import bertulang, daging kambing/biri-biri import tanpa tulang dan daging paha kambing/biri-biri bertulang.

“Barangan lain termasuk telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, tomato, lada benggala hijau, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hamzah berkata, peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan barangan lain.

Katanya, pegawai penguat kuasa KPDNKK akan berada di lokasi tumpuan orang ramai di pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan serta pemantauan. BERNAMA

No comments:

Post a Comment