Thursday, 17 November 2016

Rakyat Berhak Tahu Defisit Pulau Pinang Terus Meningkat



KUALA LUMPUR 16 Nov. - Penduduk Pulau Pinang berhak untuk mengetahui kenapakah belanjawan defisit negeri itu semakin meningkat dan terus meningkat di bawah pemerintahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Penganalisis Bebas Ekonomi dan Politik, Profesor Dr. Hoo Ke Ping berkata, apabila enam tahun berturut-turut kerajaan Pulau Pinang membentangkan bajet defisit maka secara teknikalnya, negeri itu sebenarnya mengalami muflis.

“Kerajaan negeri wajar menyenarai isu dan perkara-perkara yang menyebabkan belanjawan menjadi defisit hampir setiap tahun.

“Adakah ini termasuk juga akibat atau kesan satu-satunya dasar kerajaan negeri yang berbeza dengan negeri lain apabila, Pulau Pinang terpaksa bertanggungjawab untuk membayar pampasan kepada para pemaju atas setiap dan mana-mana projek pembangunan dan infrastruktur yang gagal disiapkan dan ditolak untuk dibangun dan dimajukan?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai Kerajaan DAP Pulau Pinang buat tahun keenam berturut-turut membentangkan bajet defisit dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, secara rumusan anggaran defisit untuk belanjawan tahun depan adalah sebanyak RM667.1 juta berbanding anggaran RM230.31 juta tahun ini.

Katanya, perbelanjaan mengurus tahun depan dianggarkan RM1.354 bilion termasuk pindahan RM790 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

Ke Ping berkata, kerajaan negeri itu mesti bersikap terbuka dan telus dalam perkara ini tanpa perlu menunggu mana-mana pihak mempersoalkan kemampuan sebenar mereka mengurus tadbir negeri.

“Jika mereka sendiri tidak suka dikritik dan dipersoalkan maka adalah lebih baik kerajaan negeri Pulau Pinang dibawah pimpinan DAP segera berbuat demikian. Semua pihak ingin tahu dan berhak untuk tahu,” katanya.-UM

No comments:

Post a Comment