Wednesday 9 November 2016

Pemilik kilang kerugian RM57,600 disamun 3 lelaki

NIBONG TEBAL - Seorang pemilik kilang perabot kerugian RM57,600 apabila wang gaji pekerja yang baharu dikeluarkan dari bank disamun tiga lelaki di hadapan kilangnya di Jalan Besar, Sungai Bakap di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Shafee Abdul Samad berkata kejadian dilapor pada pukul 4.15 petang apabila lelaki itu baharu balik dari sebuah bank di Bagan Ajam, Butterworth dekat sini.

"Mangsa yang mahu membuka pagar kilang dihampiri dua lelaki bersenjata parang dan kapak yang turun dari kereta Toyota Vios dan merampas beg silang mengandungi wang tunai RM57,600 serta telefon bimbit pemilik kilang itu.

Mereka turut memancitkan tayar kereta pemilik kilang itu sebelum melarikan diri dengan Toyota Vios yang menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata tiga lelaki yang memakai topeng muka itu turut melarikan pasport pekerja asing, serangkai anak kunci rumah dan kilang berkenaan yang terdapat dalam kereta mangsa.

Sementara itu di Bukit Mertajam, polis menahan empat orang termasuk dua wanita berusia 24 hingga 45 tahun yang disyaki terlibat beberapa kes samun bersenjata di daerah Seberang Perai Tengah (SPT), di sini.

Ketua Polis Daerah SPT Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dua pasang kekasih itu ditahan dalam serbuan di Flat Paya Nahu dan Taman Ria di Sungai Petani, Kedah pada pukul 2 petang semalam.
Polis turut merampas sebuah kereta, pisau, parang serta pelbagai barang antaranya telefon bimbit, sejumlah kunci dan beg tangan dipercayai hasil samun. –Bernama

No comments:

Post a Comment