KUALA LUMPUR: Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) mempersoalkan tindakan beberapa pihak mempertahankan Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah yang kini berada dalam tahanan polis.
Ia termasuk tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir ke vigil bagi mendesak pembebasan Maria di Dataran Merdeka pada 21 November lalu.
Beliau membandingkan penahanan Maria dengan pengalamannya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1974 dan 1987.
Beliau ditahan ISA ketika terlibat dalam demonstrasi Baling bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Operasi Lalang semasa di bawah pentadbiran Dr Mahathir.
“Dahulu Tun sendiri tahan saya. 60 hari duduk dalam bilik yang saya tak tahu malam ke siang, tidur atas simen dengan tandas yang busuk. Tetapi saya tak merungut.
“Maria dan kawan-kawannya baru kena tahan 10 hari sudah kecoh, sampai Tun pun turun pergi dan pasang lilin. Apa ini?” soalnya dalam sidang media di ibu pejabat Perkasa hari ini.
Maria, 60 tahun, ditahan pada 18 November lalu, sehari sebelum himpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
Sejak itu, pelbagai bantahan ditunjukkan pembangkang dan masyarakat sivil, termasuk vigil setiap malam di Dataran Merdeka serta perarakan ahli Parlimen pembangkang dari Dewan Rakyat ke Bukit Aman semalam.
Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata dalam pertemuan mereka, Maria memaklumkan beliau memang ditahan dalam kurungan berasingan tanpa tilam serta terpaksa membersihkan diri dengan air sejuk.
Pada 22 November, Maria memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar penahanannya di bawah Sosma.
Ibrahim juga berkata, seorang pejuang sepatutnya sudah menjangka berhadapan tekanan seperti itu dan menerimanya.
“Sudah tahu (keadaan ditahan) tetapi nak komplen, nak tilam, tandas duduk, nak telur ayam kampung 2 biji setiap pagi.
“Saya tak merungut atau failkan habeas corpus. Orang berjuang patut terimalah cabaran, kalau tidak jangan dirikan rumah di tepi laut,” katanya lagi.
FMT
No comments:
Post a Comment