Friday 11 November 2016

Malaysia, Indonesia dibenar buru penculik di perairan Filipina: Najib

Kerajaan Filipina bersetuju membenarkan pasukan keselamatan Malaysia dan Indonesia yang memburu dan mengejar kumpulan penculik dan pengganas untuk memasuki sempadan perairan negara berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, persetujuan itu dicapai pada mesyuarat dua hala antara beliau dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, di sini, hari ini.
“Persetujuan ini adalah satu perkembangan baharu bagi menangani isu penculikan warga tempatan terutama di Sabah yang didalangi kumpulan culik untuk tebusan yang semakin membimbangkan.
“Berikutan itu, menteri pertahanan dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina akan bermesyuarat pada 22 November ini di Vientiane, Laos, bagi membincangkan prosedur operasi standard (SOP) dan aspek perundangan sebelum ia dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Setakat ini, 10 kes penculikan membabitkan warga Malaysia dilaporkan dengan lima daripada mangsa masih dalam tahanan kumpulan penculik berkenaan.
Dalam pada itu, Najib berkata, proses perdamaian di selatan Filipina memasuki fasa pemantauan dan bukan lagi fasa rundingan.
“Dalam hal ini, Presiden Duterte menghargai peranan dimainkan Malaysia, namun kerajaannya tidak memerlukan lagi orang tengah,” katanya.

No comments:

Post a Comment