Tuesday 29 November 2016

Guan Eng Tadbir Negeri Hanya Bela Satu Kaum


Menyokong kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam yang mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hanya membela satu kaum sahaja di negeri itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng berkata ia turut diterjemahkan di dalam urus tadbir negeri tersebut.

Beliau yang juga Setiausaha GERAKAN berkata, tindakan pemimpin kanan Melayu DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim satu ketika dulu keluar daripada DAP adalah disebabkan suara Melayu dan India tidak didengar oleh Guan Eng.

“Guan Eng telah menentukan ‘successor’ terlebih dahulu iaitu dengan memilih Chow Kuan Yew sebagai ketua menteri sekiranya beliau dihukum penjara kerana rasuah tanpa memberikan penjelasan mengapa kedua-dua timbalan ketua menteri, seorang Melayu dan India, tidak diamanahkan untuk menjadi penggantinya,” kata Teck Meng kepada BNBBC.my portal pada Isnin.

Sementara itu, menurut Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap kenyataan DAP semalam kepada Menteri Besar Johor adalah berbaur cemburu.

Katanya, DAP di Johor mungkin cuba melihat dan menilai pembangunan kerajaan negeri di Johor dalam cara yang berbeza.

Namun mereka terlupa untuk menoleh dan menilai apa yang kerajaan negeri Pulau Pinang lakukan di bawah pemerintahan Guan Eng di negeri tersebut.

“Saya melihat kenyataan daripada DAP ini sebenarnya lebih kepada rasa cemburu dengan apa yang telah berjaya dilaksanakan Datuk Seri Mohd Khaled Nordin di Johor.

“Semenjak menerajui pimpinan kerajaan negeri, Khaled dilihat bersungguh memastikan kedudukan ekonomi di Johor terus mantap dan melaksanakan pembangunan mampan selaras dengan hasrat DYMM Tuanku sendiri,” katanya.

Semalam, Khaled berkata setelah hampir dua penggal kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP,  Guan Eng masih belum pernah mengemukakan sebarang Pelan untuk memajukan orang Melayu dan India di negeri tersebut.

Menurut Khaled, jurang antara orang Cina dan orang Melayu dan India bukan sahaja semakin melebar, malah membahayakan dan akan menyumbang kepada polarisasi dan polarisasi adalah ancaman kepada keselamatan.

Maka atas sebab itu, DAP tidak akan sesekali dapat menarik sokongan orang Melayu dan India di Johor.

No comments:

Post a Comment