Wednesday, 23 November 2016

ADUN DAP : Lim Guan Eng Jangan Pengerusi Mesyuarat Kerajaan Negeri Sehingga Kes Rasuah Selesai


ADUN DAP Pulau Pinang hari ini menyarankan 'boss besarnya' Lim  Guan Eng untuk berhenti daripada mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa  Perancangan Negeri (SPC) atau Jawatankuasa Tanah sementara menanti keputusan  tuduhan rasuahnya.

Saranan kepada Ketua Menteri itu dinyatakan ADUN Tanjung Bungah Teh Yee Cheu  berikutan badan pengendali urusan kerajaan negeri harus bebas dari kontroversi  yang kini dipalit keatas Guan Eng.

"Di dalam sistem kita, salah satu strukturnya adalah kebertanggungjawapan.  Seseorang pemimpin itu haruslah mengamalkan tanggungjawab kolektif dalam  menghadapi kontroversi supaya kepentingan awal terjamin dan pemerintahan dapat  dipertahankan," kata Yee Cheu ketika membahaskan usul belanjawan Pulau Pinang di  Dewan Undangan Negeri (DUN), sebentar tadi.

Sidang DUN hari ini walaubagaimanapun tidak dihadiri Guan Eng.

Tambah ADUN DAP itu, ahli politik lebih-lebih lagi pemimpin utama yang terpalit  isu rasuah diminta untuk bercuti sementara menunggu keputusan mahkamah  menentukan individu berkenaan bersalah atau tidak.

"Sekiranya cadangan itu sukar diterima, maka langkah lebih progresif perlu  diambil, dimana demi keadilan, seseorang pemimpin itu dinasihatkan untuk tidak  mempengerusikan atau menguruskan hal berkaitan SPC ata Jawatankuasa Tanah untuk  sementara waktu," katanya lagi.

Yee Cheu menyarankan perkara berkenaan ekoran Guan Eng kini masih belum  dibersihkan daripada dua tuduhan rasuah - penukaran zon pertanian kepada zon  perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam iaitu menggunakan  kedudukannya sebagai Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, menerima suapan  bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan  Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah  Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Sementara pertuduhan kedua, Guan Eng sebagai penjawat awam mendapatkan  mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang  diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di  alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Phang  Li Koon dengan harga RM2.8 juta.-MD

No comments:

Post a Comment