Tuesday, 18 October 2016

Waktu Pertanyaan Menteri diperkenal di Parlimen hari ini

Sesi khas Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) diadakan di Parlimen buat julung kalinya hari ini, dengan 30 minit diperuntukkan kepada wakil rakyat untuk mengemukakan isu serius dan terkini.
Langkah itu adalah sebahagian daripada pembaharuan Parlimen yang dilaksanakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Bagaimanapun, pembangkang mengkritik langkah terbaharu itu, sebaliknya mereka mahu Waktu Pertanyaan Perdana Menteri seperti yang diadakan di United Kingdom, di mana pemimpin negara mempunyai setengah jam untuk menjawab soalan ahli Parlimen.

MQT akan diadakan dari jam 10 hingga 10.30 pagi, setiap Selasa dan Khamis, sebelum bermulanya sesi pertanyaan jawab lisan dari jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Ahli Parlimen hanya perlu menyerahkan soalan sehari sebelum MQT diadakan untuk memberi masa kepada menteri terbabit menyediakan jawapan mereka, sementara sesi pertanyaan jawab lisan pula, soalan perlu dikemukakan sekurang-kurangnya 10 hari lebih awal.

Ini kerana, kata Pandikar pada September lalu, soalan pada sesi pertanyaan jawab lisan lebih rumit dan memerlukan kajian serta persediaan menteri.
Ketika MQT diadakan, setiap soalan dihadkan kepada 10 minit dengan maksimum 3 soalan setiap sesi.
Tiga soalan itu akan dipilih speaker.
Ahli Parlimen dibenar mengemukakan 2 soalan susulan selepas soalan pertama, selagi mereka kekal dalam tempoh 10 minit ditetapkan.

No comments:

Post a Comment