Tuesday, 11 October 2016
Siasat orang kaya beli rumah kos rendah.
PULAU PINANG . - Parti Cinta Malaysia (PCM) membuat laporan dan menyerahkan dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu rumah kos sederhana rendah di negeri ini yang didakwa dibeli golongan kaya.
Naib Presidennya, Datuk Huan Cheng Guan berkata, laporan itu dibuat selepas mendapati wujudnya keraguan dalam pengagihan pemilikan rumah tersebut yang sekali gus merampas hak golongan miskin di negeri ini.
Menurut beliau, pihaknya menggesa siasatan segera dijalankan SPRM berhubung isu itu yang secara tidak langsung turut menunjukkan Kerajaan DAP Pulau Pinang di negeri ini mengabaikan nasib rakyat .
“Salah satu manifesto DAP ketika berkempen dalam pilihan raya umum lalu adalah mahu menjaga kebajikan golongan miskin dan sederhana di negeri ini.
“Namun, perkara itu tidak berlaku malah rumah untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana juga dijual kepada golongan kaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum membuat laporan di Ibu pejabat SPRM di Jalan Sultan Azlan Shah
Cheng Guan sebelum ini mendedahkan siasatan pihaknya mendapati sebuah projek perumahan di Bukit Gambir di sini, yang sepatutnya dikhususkan kepada golongan miskin dibeli golongan kaya.
Menurut beliau, perkara tersebut berdasarkan jenis kenderaan mewah pemiliknya yang harganya melebihi nilai rumah kos sederhana rendah itu sendiri.
Paling mengejutkan, tambahnya, rumah itu turut diiklankan untuk disewa dan dijual sedangkan mengikuti syarat perlu diduduki pemilik yang dalam kategori penduduk miskin.
Dalam pada itu, Cheng Guan berkata, beliau juga akan menyerahkan dokumen berkenaan isu terbabit kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk diambil tindakan segera.
Menurutnya, beliau mendapat maklumat daripada penduduk terdapat rumah kos sederhana itu disewakan kepada warga Afrika dan China sekali gus dibimbangi wujudnya kegiatan yang menyalahi undang-undang di situ.
Selain itu, katanya, pembeli rumah kos sederhana di negeri ini juga seolah-olah berasa dibuli apabila terpaksa membayar antara RM30,000 hingga RM50,000 untuk mendapatkan parkir kereta malah perlu membuat bayaran kos pengubahsuaian.
“Apabila mengadu kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang, pelbagai alasan diberikan malah menuding jari kepada pihak lain.
“Jelas sikap ini tidak bertanggungjawab dan bukan contoh kerajaan negeri yang baik,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment